Pekerja KTMB maut motosikal bertembung Alza
Pekerja KTMB maut motosikal bertembung Alza
BERA – Seorang pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) maut selepas motosikal ditungganginya bertembung dengan sebuah Perodua Alza yang dipercayai memasuki simpang secara tiba-tiba di Kilometer 32 Jalan Temerloh-Bahau, di sini, pagi tadi.
Mangsa, Mohd Hafiz bin Janudin, 36, yang bekerja sebagai penyenggara am operasi KTMB, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan pada kepala dan kaki.
Ketua Polis Daerah Bera, Supt Zulkiflee Nazir berkata, kemalangan berlaku kira-kira 7.22 pagi ketika mangsa menunggang motosikal Honda dari arah Bahau menuju Temerloh.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah Perodua Alza dipandu wanita berusia 45 tahun dari arah bertentangan dipercayai memasuki simpang sebelah kiri laluan motosikal secara tiba-tiba sebelum berlaku perlanggaran depan dengan depan.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta mengalami kecederaan pada mata akibat terkena serpihan kaca dan mendapatkan rawatan di Klinik Triang,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta ketika memasuki simpang.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Tindakan tangkapan akan dilakukan selain pengambilan sampel darah pemandu bagi ujian toksikologi.
“Kedua-dua kenderaan akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan dan polis turut mengesan saksi yang melihat kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.-SAHIH
#Bera #KTMB #KemalanganMaut #PolisPahang
