ANGKASA diiktiraf kecemerlangan pembangunan koperasi, pemerkasaan ekonomi
ANGKASA diiktiraf kecemerlangan pembangunan koperasi, pemerkasaan ekonomi
KUALA LUMPUR – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus mengukuhkan kedudukannya dalam pembangunan gerakan koperasi negara apabila menerima pengiktirafan Business Excellence in Cooperative Development & Economic Empowerment pada Anugerah Kecemerlangan Perniagaan Bumiputera (BBEA) 2026.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai menghargai sumbangan dan pencapaian cemerlang ANGKASA dalam pembangunan gerakan koperasi serta usaha memperkasakan ekonomi.
Anugerah berkenaan disampaikan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah kepada Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dalam majlis di Kuala Lumpur, 26 November lalu.
Turut hadir, Pengerusi BBEA 2026, Tan Sri Dato’ Seri Syed Mohd Yusof Tun Dato’ Syed Nasir dan Penasihat Korporat ANGKASA (Sektor Kerajaan), Dato’ Dr Haji Mohd Nasiruddin Othman.
Dalam ucapannya, Mohd Shahar berkata, BBEA 2026 berperanan mengangkat kecemerlangan perniagaan bukan sahaja dari aspek prestasi, malah sektor yang sentiasa menjadi perhatian kerajaan.
Beliau berkata, perniagaan berinfrastruktur mampu menjadi contoh kepada masyarakat selain penanda aras dan inspirasi kepada usahawan lain.
Katanya, landskap ekonomi global semakin mencabar berikutan ketegangan politik, ketidaktentuan perdagangan, perkembangan teknologi, kekangan kos serta perubahan corak pelaburan dan pasaran kerja.
“Justeru, kita perlu lebih tangkas menyesuaikan diri dan melihat cabaran ini sebagai peluang untuk memperkukuh daya saing.

“Kerajaan komited memperkukuh agenda Bumiputera dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) menerusi 132 ikhtiar di bawah Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35),” katanya.
BBEA 2026 menghimpunkan usahawan, pemimpin korporat dan selebriti bagi meraikan kecemerlangan perniagaan Bumiputera serta mengiktiraf sumbangan pemimpin industri terhadap pembangunan ekonomi negara.-SAHIH
#ANGKASA #BBEA2026 #Koperasi #EkonomiBumiputera
