SARA dekat di Pulau Bum Bum, penduduk tak perlu lagi keluar RM50 ke Semporna
SARA dekat di Pulau Bum Bum, penduduk tak perlu lagi keluar RM50 ke Semporna
SEMPORNA: Penduduk Pulau Bum Bum kini tidak lagi perlu mengeluarkan kos pengangkutan sehingga RM50 untuk ke pekan Semporna semata-mata bagi menebus barangan keperluan menerusi Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Pembukaan Rakan Niaga SARA di pulau berkenaan memberi kelegaan kepada lebih 25,000 penduduk apabila urusan mendapatkan barangan asas kini lebih mudah, cepat dan menjimatkan.
Ketua Kampung Samal-Samal, Ahmad Pangiran berkata, kemudahan itu memberi manfaat besar khususnya kepada 535 penduduk kampungnya yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan petani.
Menurutnya, sebelum ini penduduk terpaksa berulang-alik menggunakan bot ke pekan Semporna dengan kos yang tinggi hanya untuk mendapatkan barangan asas.
“Dari sini kalau ikut bot, memang duit juga dipakai. Lepas itu kena pergi sana lagi kalau banyak barang, jadi memang kos tinggi.
“Memang di sini sangat berbaloi. Kalau kami dari sini, tidak perlu pergi pekan kerana semuanya sudah ada di sini,” katanya.
Koperasi Anugerah Haji Badji menjadi Rakan Niaga SARA pertama dan satu-satunya di Pulau Bum Bum, sekali gus memudahkan penduduk membuat penebusan tanpa perlu keluar dari pulau berkenaan.
Kemudahan itu memanfaatkan lebih 25,000 penduduk pulau yang layak menerima SARA Untuk Semua, manakala kira-kira 3,300 lagi layak menerima SARA Bulanan dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Suri rumah, Arkah Uttok berkata, kewujudan premis berkenaan membolehkannya menjimatkan sehingga RM40 bagi setiap perjalanan ulang-alik ke pekan Semporna.
“Biasanya kami beli barang di pekan Semporna. Sekarang sudah ada di sini, jadi segala kos kami tidak perlu dibuang lagi,” katanya.
Penduduk turut berharap pilihan barangan diperluaskan termasuk sayur-sayuran segar, susu formula dan lampin pakai buang bagi memenuhi keperluan keluarga yang mempunyai anak kecil.
Kini terdapat 1,495 Rakan Niaga SARA di Sabah dengan 33 daripadanya beroperasi di Semporna.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#SARA #SumbanganAsasRahmah #PulauBumBum #Semporna #Sabah #RakanNiagaSARA #STR #SumbanganTunaiRahmah #KosSaraHidup #PendudukPulau #Nelayan #Petani #BaranganAsas
