Lori minyak masak guna nombor pendaftaran lori lain disita
Lori minyak masak guna nombor pendaftaran lori lain disita
TEMERLOH – Sebuah lori membawa muatan minyak masak disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas dikesan mempamerkan nombor pendaftaran milik kenderaan lain dalam pemeriksaan di SPK Sanggang, di sini, semalam.
Pemeriksaan pada 26 November itu turut mendapati lori berkenaan melakukan enam kesalahan lain ketika dipandu lelaki berusia 36 tahun dari Kuantan menuju Triang.
Unit Korporat JPJ Pahang berkata, antara kesalahan dikesan ialah tiada lesen memandu kenderaan barangan (GDL) Kelas E, perakuan pemeriksaan berkala Puspakom tamat tempoh, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada insurans.
Pemandu turut gagal mengemukakan permit serta membawa muatan berlebihan sebanyak 27.3 peratus.
Menurutnya, tiga kesalahan iaitu LKM tamat tempoh, tiada insurans dan mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan berkenaan tidak boleh dikompaun.
“Empat kesalahan lain iaitu perakuan pemeriksaan berkala tamat tempoh, tiada lesen GDL Kelas E, tidak membawa permit dan lebih muatan boleh dikompaun,” katanya.
Lori berkenaan disita dan dibawa ke depoh SPK Sanggang untuk tindakan lanjut.-SAHIH
#kw #JPJ #Pahang #Temerloh #Penguatkuasaan
