375 motosikal taktikal elektrik perkukuh kawalan sempadan
375 motosikal taktikal elektrik perkukuh kawalan sempadan
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 375 motosikal taktikal elektrik jenis All Terrain Tactical Assault E-Bike (ATEB) bernilai RM8 juta bagi memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan sempadan negara.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, aset berkenaan akan diagihkan ke negeri yang bersempadan dengan Thailand termasuk Perlis, Kedah, Kelantan dan Perak, selain turut digunakan di Sabah serta Sarawak.
Menurutnya, penggunaan ATEB dijangka meningkatkan keupayaan pegawai dan anggota terutama Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam melaksanakan rondaan serta pengawasan di kawasan sempadan dengan lebih pantas, senyap dan berkesan.
“Isu yang membabitkan ketirisan terutama petrol dan sebagainya menjadi keutamaan kita bagi memastikan tidak ada ketirisan di peringkat sempadan.
“Pada masa sama, kita mahu memastikan pendapatan negara dapat dikekalkan pada tahap maksimum,” katanya selepas majlis penerimaan aset berkenaan, Rabu.
Mohd Khalid berkata, penggunaan motosikal taktikal itu juga membolehkan anggota memasuki kawasan yang sukar dilalui kenderaan biasa sekali gus membantu meningkatkan keberkesanan operasi penguatkuasaan.
Beliau berharap kerjasama antara PDRM dan pihak berkaitan dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mempertingkatkan keupayaan penugasan pasukan khususnya di kawasan sempadan.
Motosikal elektrik berkenaan mampu mencapai kelajuan maksimum 120 kilometer sejam dengan kuasa tork sehingga 850 Newton meter, manakala jarak operasinya boleh mencecah sehingga 120 kilometer.
Ia turut dilengkapi pengecas pintar serta bateri berkapasiti 72 volt dan 60 ampere-jam yang direka khusus bagi menyokong keperluan operasi lasak PDRM.
Aset berkenaan turut dipamerkan kepada masyarakat umum buat julung kalinya menjelang perarakan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung tidak lama lagi.
PDRM yakin penggunaan teknologi berkenaan mampu membantu memperkukuhkan kawalan sempadan selain meningkatkan mobiliti anggota ketika menjalankan operasi.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#PDRM #PolisDirajaMalaysia #MohdKhalidIsmail #ATEB #MotosikalElektrik #MotosikalTaktikal #PasukanGerakanAm #PGA #KawalanSempadan #KeselamatanSempadan #KeselamatanNegara #HariKebangsaan #BukitAman
