Pahang tambah peruntukan koperasi kariah masjid kepada RM1 juta
Pahang tambah peruntukan koperasi kariah masjid kepada RM1 juta
TEMERLOH: Kerajaan Pahang meningkatkan peruntukan pembangunan koperasi kariah masjid kepada RM1 juta pada 2027, berbanding RM600,000 tahun ini bagi memperkukuh kegiatan ekonomi komuniti berasaskan masjid.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah, berkata Pahang menjadi negeri pertama di Malaysia menyediakan peruntukan khusus bagi pembangunan koperasi kariah masjid.
Beliau berkata, inisiatif menerusi Program Pemerkasaan Koperasi Kariah Masjid Negeri Pahang (HIKMAH) itu membuka peluang kepada koperasi masjid mengembangkan perniagaan sekali gus menjana pendapatan dan manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.
“Pahang satu-satunya negeri yang mempunyai kepala peruntukan khusus untuk koperasi kariah masjid, dengan jumlah RM1 juta.
“Di Pahang terdapat kira-kira 700 masjid, namun setakat ini hanya 113 masjid mempunyai koperasi,” katanya.
Koperasi kariah masjid ialah organisasi ekonomi yang ditubuhkan oleh anggota kariah bagi menjalankan kegiatan perniagaan secara bersama, dengan masjid menjadi pusat penggerak ekonomi, kebajikan dan pembangunan masyarakat.
Melalui koperasi, anggota boleh mengusahakan pelbagai kegiatan perniagaan termasuk kedai runcit dan serbaneka yang membekalkan produk halal dan toyyiban, kafe, dobi, katering serta pengurusan perkhidmatan perkahwinan.
Kegiatan lain turut merangkumi pertanian dan perladangan, pusat tuisyen, taska serta penyediaan kemudahan penginapan, bergantung kepada keperluan dan kemampuan koperasi masing-masing.
Abdul Fattah berkata, peruntukan bagi 2027 itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, menerusi Belanjawan Pahang 2027.
Pada 2026, sebanyak 30 koperasi kariah masjid menerima geran berjumlah RM450,000 menerusi program HIKMAH bagi membantu mengembangkan kegiatan ekonomi masing-masing.
Bagi tahun kewangan 2025, koperasi kariah masjid di Pahang merekodkan aset keseluruhan RM5.4 juta, pendapatan daripada aktiviti berjumlah RM2.3 juta dan modal syer RM2 juta, dengan gerakan itu membabitkan hampir 7,000 anggota.
Dalam perkembangan lain, Abdul Fattah berkata, konsep koperasi kariah masjid turut diamalkan di Indonesia, Vietnam, Filipina dan Kemboja, manakala Jepun serta Thailand dijangka mengadaptasi model berkenaan menjelang hujung tahun ini bagi mengembangkan gerakan koperasi di negara masing-masing.-SAHIH
#Pahang #ANGKASA #KoperasiMasjid #HIKMAH
