Rumah Peneroka FELDA Jengka 12 Musnah Dijilat Api, Mangsa Terima Bantuan Segera
Rumah Peneroka FELDA Jengka 12 Musnah Dijilat Api, Mangsa Terima Bantuan Segera
JERANTUT, – Sebuah rumah milik peneroka di FELDA Jengka 12 musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 10.30 malam semalam, menyebabkan tiga sekeluarga hilang tempat berteduh.
Kejadian berlaku di rumah bernombor M275, FELDA Jengka 12, membabitkan kediaman milik Selamah @ Esah Hassan yang juga peneroka bersama FELDA Plantation Management Sdn Bhd (FPMSB).
Pengerusi Biro Sosial dan Komuniti Setempat Wilayah Jengka, Razak Daud berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihak berkuasa sedang menunggu laporan forensik bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Menurutnya, sebaik menerima maklumat mengenai kejadian itu, pihak pengurusan FELDA bersama kepimpinan setempat segera turun padang bagi meninjau keadaan mangsa dan menyalurkan bantuan awal.
“Bantuan segera disampaikan bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan kediaman serta barangan keperluan akibat kebakaran berkenaan.
“Kita berharap mangsa dan keluarga terus tabah menghadapi ujian ini. Pihak FELDA serta komuniti setempat akan terus membantu mengikut keperluan semasa,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa hari ini.

Turut menyampaikan sumbangan ialah Penyelaras DUN Pulau Tawar, selain kehadiran Pengurus FELDA Jengka 12, Mohd Amir Jusoh; Pegawai FELDA, Puan Hajjah Nor Sarfinaz Mohd Azman dan Ketua Peneroka FELDA Jengka 12, Mohd Taufik Mansor.
Razak berkata, semangat kebersamaan masyarakat FELDA amat penting dalam membantu keluarga yang ditimpa musibah dan memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.
Katanya, kerjasama antara pengurusan FELDA, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat membolehkan bantuan disalurkan dengan cepat kepada mangsa.
Sementara itu, beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit bagi membantu mereka meneruskan kehidupan selepas kehilangan tempat tinggal dalam kejadian berkenaan.
Pihak berkaitan kini sedang menilai keperluan lanjut mangsa sementara menunggu siasatan lengkap berhubung punca kebakaran tersebut.-SAHIH
#kw
