ANGKASAMart Jasin perkukuh akses barangan keperluan komuniti
ANGKASAMart Jasin perkukuh akses barangan keperluan komuniti
JASIN: ANGKASAMart Jasin yang mula beroperasi sejak Julai lalu terus diperkasa sebagai pusat sehenti keperluan komuniti dengan penambahan jenis produk serta penambahbaikan susun atur premis.
Pengerusi ANGKASA Negeri Melaka, Haji Zaidan Abd Hadi berkata, pihaknya terbuka menerima sebarang idea dan cadangan bagi memastikan kedai koperasi dua lot itu mampu berkembang serta memenuhi permintaan masyarakat setempat.
Menurutnya, ruang tingkat bawah ketika ini menawarkan pelbagai barangan runcit termasuk keperluan makanan kering dan sejuk beku.
“Tingkat atas pula akan dimanfaatkan untuk penjualan produk lain termasuk peralatan sukan serta keperluan dan perkakasan kediaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan barisan Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan ANGKASA yang diketuai Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, baru-baru ini.
Kunjungan ringkas itu diadakan sempena Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 yang berlangsung di Melaka.
Zaidan berkata, premis berkenaan masih berada dalam fasa penambahbaikan, termasuk dari segi susunan serta jenis barangan yang ditawarkan bagi disesuaikan dengan kehendak pasaran.
Menurutnya, usaha berterusan itu penting supaya ANGKASAMart Jasin bukan sahaja berfungsi sebagai kedai runcit, malah mampu menjadi antara pusat ekonomi koperasi yang memberi manfaat kepada penduduk sekitar.
Orang ramai boleh mendapatkan barangan keperluan harian di ANGKASAMart Jasin yang beralamat di JC-9180-C, Jalan BBP 2, Jalan Botani Parkland, Presint 1, 77200 Bemban, Melaka.
Premis berkenaan beroperasi setiap hari dari jam 9 pagi hingga 9 malam.-SAHIH
#kw: ANGKASAMart Jasin, ANGKASA, Haji Zaidan Abd Hadi, Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, koperasi, Melaka, Bemban, barangan runcit, Kejohanan Petanque ANGKASA 2026
