AKAR 2026 catat 175,578 penyertaan, cipta rekod MBOR
AKAR 2026 catat 175,578 penyertaan, cipta rekod MBOR
PUTRAJAYA: Program Anugerah Kreatif Aspirasi Reka (AKAR) 2026 mencatat sambutan luar biasa apabila menerima 175,578 penyertaan dari seluruh negara, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara platform seni dan kreativiti kanak-kanak terbesar di Malaysia.
Program anjuran Yayasan KRU itu turut menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Penyertaan Pelajar Prasekolah Terbesar dalam Pertandingan Mewarna.
Daripada keseluruhan penyertaan, sebanyak 134,217 karya dimuat naik dengan 114,940 daripadanya berjaya melepasi proses saringan teknikal.
Kemuncak AKAR 2026 berlangsung di Wetland Studios, di sini, dengan menghimpunkan juara dari setiap negeri dan Wilayah Persekutuan bagi merebut kejuaraan peringkat kebangsaan.
Bagi Kategori Satu membabitkan peserta berusia empat hingga enam tahun, Puteri Aisyah Mikayla Tengku Kamalrulzaman dari Tabika Kemas Harmoni, Terengganu muncul juara.
Muhammad Hafikh Faiz dari SK Putrajaya 14 (1) pula menjuarai Kategori Dua bagi murid Tahun Satu hingga Tiga, manakala Lein Qian Vi dari SJKC Cheng, Melaka dinobatkan juara Kategori Tiga bagi murid Tahun Empat hingga Enam.
Setiap juara kebangsaan menerima trofi, sijil pencapaian dan wang tunai RM3,000 yang dimasukkan ke akaun Simpan SSPN, manakala naib juara menerima RM1,500 dan tempat ketiga RM750.
Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, AKAR bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform mengenal pasti dan memperkasa bakat kreatif kanak-kanak sejak usia muda.
“Kami mahu mereka melihat kreativiti sebagai satu kekuatan dan medium untuk mengekspresikan idea, imaginasi serta aspirasi,” katanya.
AKAR 2026 turut diperluaskan menerusi jelajah seluruh negara sejak Julai lalu melibatkan 40 sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Program itu turut mendapat sokongan KEMAS, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Astro Audio, Aras Integrasi, Sony Music Entertainment Malaysia serta Palm Garden Hotel Putrajaya.-SAHIH
#kw: AKAR 2026, Yayasan KRU, Norman Abdul Halim, kreativiti kanak-kanak, Malaysia Book of Records, MBOR, Wetland Studios Putrajaya, PTPTN, KPM, Simpan SSPN
