Pahang Tengah juara keseluruhan Petanque ANGKASA 2026
Pahang Tengah juara keseluruhan Petanque ANGKASA 2026
MELAKA: Kontinjen Pahang Tengah mengungguli Kejohanan Petanque ANGKASA Peringkat Kebangsaan 2026 apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada pertandingan yang berlangsung di Arena Petanque Hang Jebat, Tanjung Kling, di sini, baru-baru ini.
Kejayaan itu membolehkan kontinjen berkenaan membawa pulang Piala Presiden serta hamper selepas mencatat pencapaian terbaik dalam kejohanan membabitkan pasukan koperasi dari seluruh negara.
Pahang Tengah turut mencipta kejayaan menerusi Koperasi SMK Bukit Mendi Berhad yang menjuarai Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Perempuan) selepas menewaskan Koperasi SMK Bukit Sagu Kuantan Berhad dari Pahang Timur.
Bagi Kategori Koperasi Sekolah (Pelajar Lelaki), Koperasi SMK Pinggan-pinggan Berhad dari Sabah muncul juara selepas mengatasi Koperasi SMK Agama Limbang Berhad, Sarawak.
Kategori Koperasi Dewasa (Wanita) pula dimenangi Koperasi Harumanis Y.A Berhad dari Perlis selepas menewaskan Koperasi Vanila Berhad (A) dari Pahang Tengah.
Koperasi Ikram Negeri Sembilan Berhad pula menjuarai Kategori Koperasi Dewasa (Lelaki) selepas mengatasi Koperasi Usahawan Ijtima’ Perlis Berhad.
Setiap juara bagi empat kategori utama menerima wang tunai RM3,000, trofi, pingat dan sijil penyertaan, manakala naib juara menerima RM2,000.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima RM1,000 dan RM500 berserta pingat serta sijil.
Sementara itu, ANGKASA Negeri Sarawak menjuarai Kategori Jemputan ANGKASA selepas menewaskan ANGKASA Negeri Terengganu.
Majlis penutupan disempurnakan Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik.
Beliau berkata, permainan petanque diperkenalkan mantan Yang Dipertua ANGKASA, Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz dengan kerjasama pihak sekolah dan terus berkembang sehingga kini.
Katanya, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform mengeratkan silaturahim serta semangat berpasukan dalam kalangan warga koperasi.-SAHIH
#kw: Pahang Tengah, ANGKASA, Petanque ANGKASA 2026, Piala Presiden, Koperasi SMK Bukit Mendi, Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Arena Petanque Hang Jebat, Tanjung Kling, koperasi, Melaka
