98 pelajar Yayasan ANGKASA erat perpaduan bersama 17 keluarga angkat
98 pelajar Yayasan ANGKASA erat perpaduan bersama 17 keluarga angkat
BESERI: Seramai 98 pelajar tajaan Yayasan ANGKASA bersama 17 keluarga angkat dan komuniti setempat menyemarakkan Program Semarak Perpaduan 2026 yang melabuhkan tirai di sini, baru-baru ini.
Program yang berlangsung selama beberapa hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti berteraskan perpaduan, sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan bagi mengeratkan hubungan antara pelajar dengan komuniti setempat.
Pada hari terakhir, pelajar bersama keluarga angkat menyertai pertandingan tuju tin, bowling nyior, Semakin Jauh Semakin Sayang, kerusi muzikal dan Wajah Kesayangan Hamba.
Kanak-kanak setempat pula menyertai pertandingan mewarna dan sukaneka, manakala komuniti mengambil bahagian dalam bola jaring, bola sepak, sepakan penalti, pembuatan garam belacan serta pertandingan gubahan tuala dan telekung.
Majlis Perasmian Penutupan Acara Sukan Perpaduan, Pertandingan Mewarna dan Sukaneka dirasmikan Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perlis, Abdul Rahman Ngatenan @ Adnan, mewakili Pengerusi SKM, Leftenan Jeneral Datuk Ahmad Norihan Jalal (B).
Pada sebelah malam, Majlis Perasmian Penutupan Program Semarak Perpaduan Pelajar Yayasan ANGKASA Bersama Keluarga Angkat disempurnakan Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Norzahiruddin Amin Hussin.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah Posting Terbaik Media Sosial Yayasan ANGKASA menerusi Facebook, TikTok dan Instagram selain pengiktirafan Peserta Terbaik Lelaki dan Perempuan.
Sepanjang program, peserta turut menyertai Larian Kebudayaan Orang Utara 2026, aktiviti sukan, kebudayaan dan kemasyarakatan.
Program itu menjadi platform memperkukuh hubungan antara generasi, menyemai semangat perpaduan serta membina interaksi lebih rapat antara pelajar, keluarga angkat dan masyarakat setempat.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan ANGKASA, Datuk Md Yusof Shamsuddin dan Haji Nasir Khan Yahaya serta Pengurus Besar Yayasan ANGKASA, Haslinda Ahmad.-SAHIH
#kw: Yayasan ANGKASA, Semarak Perpaduan 2026, Beseri, Perlis, keluarga angkat, pelajar tajaan, JPNIN, SKM, perpaduan, komuniti
