Anggota APM dipatuk tedung selar ketika demonstrasi meninggal dunia
Anggota APM dipatuk tedung selar ketika demonstrasi meninggal dunia
TEMERLOH – Selepas bertarung nyawa ketika menerima rawatan susulan akibat dipatuk ular tedung selar, seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Temerloh disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.
Sarjan Pertahanan Awam (PA) Muhamad Muazam Shah Kamardin menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.50 pagi, 23 Ogos 2026, di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh.
Pengarah APM Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, jenazah Allahyarham akan diuruskan dan disolatkan di Masjid Kampung Bukit Kelulut sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Bukit Kelulut, Temerloh.
Urusan pengebumian dijadualkan berlangsung kira-kira jam 9 pagi hari ini.
Difahamkan, Allahyarham masih bujang dan mempunyai seorang kakak.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 pagi semalam, Muhamad Muazam Shah dipatuk ular tedung selar pada bahagian kuku jari tengah tangan kanannya ketika melakukan demonstrasi pengendalian ular di Dewan Taman Temerloh Jaya.
Ketika itu, APM Daerah Temerloh dijemput menyertai Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dengan mengadakan demonstrasi pengendalian ular kepada peserta program berkenaan.
Selepas dipatuk, anggota terbabit dilaporkan keluar dari dewan untuk mencuci tangannya sebelum tiba-tiba pitam di luar dewan.
Mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Kecemasan HoSHAS untuk mendapatkan rawatan lanjut dan ditempatkan di Zon Merah di bawah pemantauan doktor.
Keadaannya terus dipantau sebelum APM memaklumkan beliau disahkan meninggal dunia pada awal pagi tadi.-SAHIH
#kw: APM, Muhamad Muazam Shah Kamardin, Che Adam A Rahman, ular tedung selar, dipatuk ular, Temerloh, HoSHAS, ANMS, Bukit Kelulut
