Ibu bapa benteng pertama kawal media sosial anak
Ibu bapa benteng pertama kawal media sosial anak
JOHOR: Ibu bapa perlu menjadi benteng pertama dalam memastikan anak berusia bawah 16 tahun tidak terdedah kepada penggunaan media sosial tanpa kawalan, selaras dengan dasar keselamatan dalam talian yang sedang dikuatkuasakan kerajaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pemantauan dari rumah amat penting kerana ibu bapa masih dibenarkan mendaftarkan akaun digital bagi anak mereka, namun aktiviti penggunaan akaun berkenaan perlu diawasi dengan ketat.
“Polisi kerajaan MADANI sekarang ialah budak-budak berumur 16 tahun ke bawah tidak sepatutnya ada akaun media sosial.
“Bagaimanapun, kita membenarkan ibu bapa mendaftarkan akaun untuk anak-anak tetapi bagaimana mereka mengawal aktiviti anak-anak mereka itu sangat-sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Konvensyen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kempen Internet Selamat, Sabtu.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga akan mengambil tindakan susulan terhadap aduan membabitkan akaun milik golongan bawah umur dengan mengemukakan laporan kepada penyedia platform digital bagi tujuan penurunan akaun.
Katanya, siri keempat Kempen Internet Selamat di Johor memberi tumpuan kepada peranan PIBG sebagai platform utama meningkatkan kefahaman ibu bapa sebelum jelajah diteruskan ke Sabah pada September dan Sarawak pada Oktober.
Setakat ini, kempen itu membabitkan 5,946 Sekolah Kebangsaan, 2,416 Sekolah Menengah Kebangsaan, 1,285 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan 524 Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil.
Program berkenaan turut membabitkan 68 Institusi Pengajian Tinggi, 67 Kolej Tingkatan Enam atau Kolej Vokasional serta enam Institut Pendidikan Guru.
Malaysia mula menguatkuasakan keperluan pengesahan umur bagi pendaftaran akaun media sosial pada 1 Jun menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak dan Kod Pengurangan Risiko yang dilaksanakan MCMC di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.
Di bawah peraturan itu, individu berumur bawah 16 tahun tidak dibenarkan membuka akaun media sosial, manakala pengguna perlu mengesahkan identiti menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Teo Nie Ching, media sosial, bawah 16 tahun, ibu bapa, MCMC, Kempen Internet Selamat, PIBG, keselamatan dalam talian, pengesahan umur, kanak-kanak
