Takaful RM10 buka peluang menang Y-16 di MAHA 2026
Takaful RM10 buka peluang menang Y-16 di MAHA 2026
PUTRAJAYA: Hanya dengan pembelian produk takaful Agrobank serendah RM10, pengunjung Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 berpeluang membawa pulang sebuah motosikal Y-16 menerusi cabutan bertuah yang diadakan sepanjang penganjuran acara berkenaan.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Agrobank, Zulhisham Zailan berkata, sebuah motosikal berkenaan akan ditawarkan sebagai hadiah utama cabutan bertuah setiap hari sepanjang 10 hari MAHA 2026 berlangsung.
Menurutnya, selain motosikal, Agrobank turut menawarkan sebuah kenderaan Raptor menerusi cabutan undian yang akan diadakan sepanjang tempoh pameran berkenaan.
“Kita ada banyak tarikan, antaranya setiap hari kita buat cabutan bertuah sebuah motosikal sepanjang 10 hari di MAHA 2026 di MAEPS.
“Kita juga ada sebuah kereta Raptor yang akan dibuat cabutan undian pada sesi 10 hari tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pickleball Bersama Media Putrajaya, malam Jumaat.
Zulhisham berkata, peluang menyertai cabutan berkenaan terbuka kepada pengunjung yang membeli produk takaful ditawarkan Agrobank dengan nilai serendah RM10.
Menurutnya, penyertaan Agrobank dalam MAHA 2026 juga adalah sebahagian daripada usaha institusi kewangan itu dalam melaksanakan mandatnya bagi memperkukuh sektor pertanian serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
Katanya, kehadiran Agrobank pada pameran berkenaan bukan sekadar menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan, malah menyediakan pelbagai tarikan kepada pengunjung sepanjang acara berlangsung.
MAHA 2026 dijadual berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) bermula 28 Ogos hingga 6 September ini.
Penganjuran kali ini membawa tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: MAHA 2026, Agrobank, Zulhisham Zailan, Y-16, motosikal, cabutan bertuah, takaful Agrobank, MAEPS, Raptor, pertanian, keterjaminan makanan
