Jualan peniaga Sabah melonjak hampir 50 peratus menerusi SARA
Jualan peniaga Sabah melonjak hampir 50 peratus menerusi SARA
KOTA KINABALU: Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat, malah memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan di Sabah apabila jualan mereka dilaporkan meningkat dengan ketara.
Perluasan Rakan Niaga SARA yang kini mencecah 1,495 peniaga di negeri itu selain penyertaan produk tempatan menerusi inisiatif ‘Kami Support Produk Lokal Sabah’ turut membantu merancakkan rantaian ekonomi dari peringkat peruncit di pulau hingga pemborong.
Pengerusi Koperasi Anugerah, Badli Sobri Lawdji berkata, penyertaan koperasinya sebagai Rakan Niaga SARA sejak tahun lalu memberi impak besar kepada perniagaan yang ditubuhkan pada awal 2024.
Menurutnya, koperasi itu juga satu-satunya Rakan Niaga SARA di Pulau Bum-Bum, Semporna sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan barangan keperluan asas.
“Barangan paling cepat dan paling laku di sini ialah gula, tepung, beras, minyak masak, bawang dan keperluan dapur lain. Semua keperluan asas memang kami sediakan,” katanya.
Badli berkata, usaha itu memberi manfaat kepada lebih 25,000 penduduk yang layak menerima SARA Untuk Semua selain kira-kira 3,300 penerima SARA Bulanan dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Katanya, penduduk sebelum ini perlu mengeluarkan sehingga RM50 bagi kos pengangkutan dengan perjalanan kira-kira 15 minit menaiki bot ke Pekan Semporna untuk mendapatkan barangan keperluan.
Sementara itu, Pengarah Dpro Trading Sdn Bhd, Tham Nyuk Lin berkata, perniagaan borong dan runcitnya di Tawau mencatat peningkatan jualan menggalakkan selepas menyertai SARA pada November tahun lalu.
Menurutnya, beras menjadi barangan paling laris diikuti gula, minyak masak dan produk tempatan, manakala premisnya turut membekalkan stok bernilai RM500 hingga RM600 kepada peniaga runcit kecil untuk dijual semula.
Pegawai Pemasaran Rich Inspiration Sdn Bhd, Arsyiati Mando pula berkata, penyertaan produk keluaran syarikat dalam SARA meningkatkan jualan sehingga hampir 50 peratus.
Katanya, produk jenama tempatan Magic Cook seperti tepung jagung, tepung kanji, kicap dan sos kini semakin mendapat pilihan pengguna.-SAHIH
Sumber:BERNAMA
#kw: SARA, Sumbangan Asas Rahmah, Sabah, Rakan Niaga SARA, peniaga tempatan, Semporna, Pulau Bum-Bum, Tawau, Badli Sobri Lawdji, Tham Nyuk Lin, Arsyiati Mando, produk tempatan, ekonomi Sabah
