Patuhi undang-undang negara dilawati, Zahid ingatkan penunggang motosikal
Patuhi undang-undang negara dilawati, Zahid ingatkan penunggang motosikal
KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia terutama penunggang motosikal yang gemar melakukan kembara ke negara jiran dinasihatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan negara yang dilawati.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sikap saling menghormati dan persefahaman perlu dipupuk bagi memastikan keharmonian terus terpelihara, khususnya dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Menurutnya, setiap individu perlu memahami bahawa undang-undang sesebuah negara mesti dihormati termasuk ketika melakukan perjalanan atau aktiviti konvoi motosikal di luar Malaysia.
“Kesefahaman mesti wujud antara negara jiran terutama kita berada dalam kerangka negara ASEAN.
“Maka kita mesti bertolak ansur dan kita harap adanya sikap hormat-menghormati, bukannya kita mahu melanggar undang-undang di mana-mana negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Program Amal Konvoi Charity Ride Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Super Bike Club di ibu negara, Jumaat.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika mengulas insiden sekumpulan penunggang motosikal dari Malaysia yang ditahan polis di Hat Yai, Thailand baru-baru ini.
Menerusi video yang tular di media sosial, kumpulan terbabit mendakwa pihak berkuasa Thailand seakan-akan ‘membuli’ mereka selain menjadikan penunggang motosikal dari Malaysia sebagai sasaran untuk dikenakan saman.
Bagaimanapun, polis Thailand dilaporkan menafikan dakwaan berkenaan dan menjelaskan tindakan kompaun diambil berikutan pelanggaran peraturan jalan raya negara itu.
Antara kesalahan yang dikesan termasuk penggunaan lampu berkelip pada motosikal selain ekzos yang menghasilkan bunyi melebihi had desibel dibenarkan.
Sehubungan itu, rakyat Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara, termasuk menyertai konvoi motosikal, disaran memahami serta mematuhi peraturan tempatan bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.-SAHIH
Sumber:BERNAMA
#kw: Ahmad Zahid Hamidi, penunggang motosikal, bikers, Hat Yai, Thailand, undang-undang, ASEAN, konvoi motosikal, polis Thailand, saman
