Aksesori patriotik jana pendapatan menjelang Merdeka
Aksesori patriotik jana pendapatan menjelang Merdeka
SANDAKAN: Bermula secara kecil-kecilan sejak 2020, seorang usahawan wanita di sini kini mampu menjana pendapatan menerusi penghasilan pelbagai aksesori bertemakan patriotik yang mendapat permintaan tinggi menjelang sambutan Bulan Kebangsaan.
Siti Nurfadhilah Mohd Fajeer berkata, kemahiran menghasilkan kraftangan itu dipelajarinya termasuk menerusi pembelajaran secara dalam talian sebelum dikembangkan menjadi sumber pendapatan.
Menurutnya, sambutan terhadap hasil kraftangannya semakin menggalakkan terutama apabila menghampiri sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun.
“Sebahagian besar tempahan diterima daripada pihak sekolah dan tadika yang mahu menyediakan pelbagai aksesori serta hiasan bertemakan patriotik.
“Antara produk yang mendapat permintaan tinggi ialah hiasan songkok, cekak rambut, pin tudung dan pin baju,” katanya.
Katanya, kebanyakan produk berkenaan dihasilkan menggunakan bahan seperti reben, dawai bulu, manik dan pin yang digubah mengikut kreativiti serta tema Jalur Gemilang.
Siti Nurfadhilah berkata, pengalaman selama beberapa tahun dalam menghasilkan kraftangan turut membolehkannya menyiapkan setiap produk dengan lebih pantas.
Menurutnya, jika sebelum ini proses menghasilkan sesuatu aksesori mengambil masa agak lama, kini satu unit produk mampu disiapkan hanya dalam tempoh beberapa minit bergantung kepada reka bentuk.
Katanya, kecekapan itu membolehkannya memenuhi tempahan pelanggan yang semakin meningkat, terutama ketika sambutan Bulan Kebangsaan.
“Jumlah tempahan tahun ini juga menunjukkan peningkatan berbanding tahun-tahun sebelumnya dan ia memberi semangat kepada saya untuk terus menghasilkan produk baharu.
“Saya berharap perniagaan kraftangan ini dapat terus berkembang dan mendapat sambutan lebih luas pada masa akan datang,” katanya.
Usaha Siti Nurfadhilah bukan sahaja membuktikan kreativiti boleh dijadikan sumber pendapatan, malah turut membantu menyemarakkan semangat patriotik menerusi penghasilan aksesori bercirikan warna dan identiti kebangsaan.-SAHIH
Sumber :BERNAMA
#kw: Sandakan, Sabah, Siti Nurfadhilah Mohd Fajeer, usahawan wanita, kraftangan, aksesori patriotik, Hari Kebangsaan, Bulan Kebangsaan, Jalur Gemilang, pendapatan
