KUALA GANDAH: KOTEJA teroka pelancongan, buka ruang ekonomi komuniti
KUALA GANDAH: KOTEJA teroka pelancongan, buka ruang ekonomi komuniti
TEMERLOH : Perasmian Kuala Gandah Eco Chalet menjadi langkah baharu Koperasi Teguh Jaya Temerloh (KOTEJA) Berhad meneroka sektor pelancongan dan hospitaliti, sekali gus merancakkan ekonomi masyarakat setempat.
Pengerusi KOTEJA Berhad, Abd Jamil Yaakub berkata, pembangunan chalet itu bukan sekadar menyediakan kemudahan penginapan, sebaliknya dirancang sebagai sebahagian ekosistem pelancongan komuniti yang memberi manfaat kepada anggota koperasi, usahawan dan penduduk sekitar.
Katanya, kedudukan Kuala Gandah yang terkenal dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan memberi kelebihan besar untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa supaya tinggal lebih lama di kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu pengunjung hanya datang pada sebelah pagi dan pulang petang. Kita mahu mereka bermalam, menikmati suasana kampung, alam semula jadi dan mengenali kehidupan masyarakat tempatan.
“Apabila pelancong tinggal lebih lama, mereka memerlukan makanan, pengangkutan, produk tempatan, cenderamata dan aktiviti rekreasi yang akhirnya memberi limpahan ekonomi kepada masyarakat,” katanya.
Menurutnya, KOTEJA turut merancang menjadikan chalet berkenaan sebagai platform mengetengahkan produk usahawan desa, makanan tradisional serta seni budaya dan warisan tempatan.
Beliau berkata, kerjasama dengan Kelab Usahawan Desa, Pertubuhan Gerak Panglima Malaysia serta ANGKASA Negeri Pahang Tengah akan diperkukuhkan bagi memperluaskan lagi aktiviti dan tarikan pelancongan di Kuala Gandah.
2374614082010889022.jpg)
Katanya, penggunaan media sosial termasuk TikTok dan Facebook juga akan dipertingkatkan bagi mempromosikan chalet berkenaan kepada pasaran lebih luas.
“Perasmian Kuala Gandah Eco Chalet hanyalah permulaan. Kita akan terus menambah baik kemudahan, memperkukuhkan promosi dan membina jaringan kerjasama supaya ia menjadi antara pilihan utama pelancong ke Kuala Gandah serta Temerloh.
“Koperasi perlu berani keluar daripada zon selesa dan meneroka peluang baharu supaya sumber pendapatan dapat diperkukuhkan serta lebih banyak manfaat disalurkan kepada anggota dan masyarakat,” katanya.
Abd Jamil berkata, KOTEJA yakin Kuala Gandah Eco Chalet berpotensi muncul sebagai antara produk pelancongan desa terkenal di Pahang dan peringkat nasional.
Majlis itu turut dihadiri Penyelaras DUN Kuala Semantan, Mohd Azly Datuk Norzan; Pengerusi ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Dato’ Hj Mohamd Hanifah BK Koya Kutty; Pengurus ANGKASA Negeri Pahang Tengah, Nurashikin Hj Sulaiman; Guru Utama Pertubuhan Gerak Panglima Malaysia, Pendekar Engku Azmi Engku Othman serta Pengerusi Kelab Usahawan Desa, Mastura Abd Malek.-SAHIH
#kw: KOTEJA, Kuala Gandah Eco Chalet, Abd Jamil Yaakub, Kuala Gandah, perasmian, pelancongan desa, koperasi, ANGKASA, Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, usahawan desa, Temerloh
