Wanita Pahang diperkasa dengan kemahiran kecantikan, keusahawanan
Wanita Pahang diperkasa dengan kemahiran kecantikan, keusahawanan
TEMERLOH: Golongan wanita di Pahang khususnya yang belum mempunyai pekerjaan tetap berpeluang membina kerjaya dan menjana pendapatan menerusi latihan kemahiran dalam bidang kecantikan serta keusahawanan.
Pengerusi Kelab Usahawan Desa, Mastura Abd Malek berkata, pihaknya dilantik Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) sebagai tenaga pengajar bagi membantu memperkasa wanita di negeri ini menerusi latihan termasuk solekan dan spa.

Menurutnya, program berkenaan bukan sekadar memberi pendedahan asas, malah membuka laluan kepada peserta untuk mendapatkan persijilan yang boleh digunakan bagi mengembangkan kerjaya dan memohon bantuan atau geran kerajaan.
“Wanita yang tidak mempunyai kerjaya tetapi berminat dalam bidang kecantikan boleh menyertai program ini.
“Kita mahu mereka mempunyai kemahiran dan sijil yang mempunyai nilai, sekali gus membantu mereka mendapatkan peluang bantuan kewangan serta geran yang disediakan kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, seramai kira-kira 50 peserta menyertai program peringkat awal dan lebih banyak kelas akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mencari wanita yang benar-benar mahu menjadikan bidang kecantikan sebagai kerjaya profesional.
Katanya, peserta yang berminat untuk pergi lebih jauh turut akan dibimbing mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1, 2 dan 3, sebelum meneruskan pengajian ke peringkat Diploma Kemahiran Malaysia (DKM).
Dalam masa sama, Mastura berkata, Kelab Usahawan Desa turut membantu wanita yang mahu menceburi bidang perniagaan termasuk mendapatkan akses pembiayaan seperti daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), pensijilan halal serta pembangunan produk.

“Sebagai contoh, peniaga nasi lemak tidak semestinya selama-lamanya hanya menjual nasi lemak.
“Sambal yang dihasilkan boleh melalui proses retort, dibuat pembungkusan lebih baik dan dikomersialkan sebagai produk halal untuk dipasarkan dengan lebih meluas,” katanya.
Beliau berkata, wanita di seluruh Pahang yang berminat boleh menghubungi Kelab Usahawan Desa bagi mendapatkan maklumat mengenai penyertaan program serta peluang latihan yang akan dianjurkan selepas ini.-SAHIH
#kw: #WanitaPahang #JabatanPembangunanWanita #JPW #KelabUsahawanDesa #MasturaAbdMalek #UsahawanWanita #KemahiranWanita #BidangKecantikan #Solekan #Spa #SKM #SijilKemahiranMalaysia #DKM #Keusahawanan #MARA #ProdukHalal #Temerloh #Pahang
