Nahas 11 kenderaan di LPT ragut empat nyawa, tiga sekeluarga maut
Nahas 11 kenderaan di LPT ragut empat nyawa, tiga sekeluarga maut
TEMERLOH: Tiga sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Kilometer (KM) 110.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Lanchang arah timur, malam tadi.
Kemalangan kira-kira 10.55 malam itu turut meragut nyawa seorang lelaki berusia 55 tahun, manakala dua lagi mangsa termasuk pemandu lori tangki simen mengalami kecederaan parah.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, siasatan awal mendapati semua 11 kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menghala ke timur.

Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku selepas lori tangki muatan simen hilang kawalan sebelum merempuh beberapa kenderaan yang sedang bergerak perlahan.
Mangsa yang maut ialah penumpang Honda CR-V, Seow Beng Wain, 55, dari Kota Kemuning, Shah Alam.
Anaknya yang memandu kenderaan itu, Sebastian Seow Jhen, 18, mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital di Temerloh.
Tiga lagi mangsa maut ialah pemandu Proton S70, Muhammad Nazatul Nazmi, 32, isterinya, Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, 32, serta anak lelaki pasangan itu yang berusia empat tahun.
Muhammad Nazatul dan Nur Atiqah Sofiya yang menetap di Bandar Damansara, Kuantan, masing-masing bekerja sebagai pemilik kafe.
Ketiga-tiga mereka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Azry Akmar berkata, pemandu lori tangki simen, Zulkarnain Md Noh, 52, dari Kampung Padang, Kuantan turut mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital.
Katanya, pemandu dan penumpang lapan kenderaan lain membabitkan sebuah bas ekspres, sebuah pikap, sebuah Toyota Alphard serta lima kereta lain tidak mengalami kecederaan serius.
Semua mangsa dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh bagi rawatan dan urusan bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.-SAHIH
#kw: LPT, kemalangan maut, nahas 11 kenderaan, Lanchang, Temerloh, tiga sekeluarga, lori tangki simen, Muhammad Nazatul Nazmi, Nur Atiqah Sofiya, Seow Beng Wain
