Terkejut, gementar tapi mahu manfaatkan PLKN 3.0
Terkejut, gementar tapi mahu manfaatkan PLKN 3.0
TUARAN: Terkejut dan gementar apabila terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0, namun pengalaman itu mahu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk membentuk disiplin serta keyakinan diri.
Itu reaksi pelatih baharu, Muhammad Danish Khusairy Hazri yang mengakui tidak menyangka namanya terpilih mengikuti program berkenaan.

Muhammad Danish Khusairy Hazri
“Kalau macam saya terpilih ini agak terkejut dan ‘nervous’ juga. Baru pertama kali.
“Dengan ada pengalaman ini saya rasa saya gunakan apa yang boleh dibuat dengan latihan ini, mungkin masuk kadet,” katanya ketika ditemui pada sesi lapor diri PLKN 3.0 Siri 4/2026 di Kem Pusat Latihan RELA Sabah, di sini.
Bagi Rachel Veralyn Dolimis pula, pengalaman tinggal di asrama ketika di sekolah menengah sedikit sebanyak membantunya membuat persediaan untuk hidup berdikari sepanjang berada di kem latihan.

Rachel Veralyn Dolimis
Menurutnya, penyertaan dalam PLKN juga dilihat sebagai peluang menguatkan mental selain menimba pengalaman baharu.
“Kalau saya, saya kuatkan mental. Orang bilang kalau ikut PLKN ini ada rasa seronok juga dan banyak pengalaman.
“Memang ada susah juga dalam latihan, tetapi saya sudah buat persediaan termasuk menyediakan barang yang diperlukan,” katanya.
Sementara itu, ibu seorang pelatih, Iyana Musa Taulani dari Tuaran mengakui pada awalnya berbelah bahagi untuk membenarkan anak perempuannya menyertai program itu.

Iyana Musa Taulani
Katanya, kebimbangan itu berpunca daripada persepsi mengenai latihan yang keras selain memikirkan aspek keselamatan.
“Mula-mula memang 50-50, takut. Macam-macam kita dengar.
“Sudah sampai di sini, Alhamdulillah, terbuka fikiran. Mudah-mudahan peserta yang masuk ini menjadi yang terbaik, terutamanya dari segi disiplin,” katanya.-SAHIH
#PLKN3 #PelatihBaharu #Disiplin #Tuaran
