Telaga harapan di bumi Aceh
Telaga harapan di bumi Aceh
Di sebalik hiruk-pikuk kehidupan moden, masih ada komuniti di pedalaman yang berjuang mendapatkan keperluan paling asas iaitu air bersih.
Bagi penduduk di beberapa kampung terpencil di Aceh, Indonesia, telaga bukan sekadar sumber air untuk minum dan memasak, tetapi lambang kelangsungan hidup serta maruah sebuah komuniti yang mahu terus berdiri kuat selepas dilanda banjir besar.
Atas kesedaran itu, AAM Foundation (Amanah Al-Ihsan Mukthi Foundation) tampil melaksanakan Misi Kemanusiaan Aceh 3.0, membawa bantuan kemudahan air dan keperluan pendidikan agama kepada penduduk setempat.
Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, berkata misi itu bermula apabila pasukan mereka tiba di Bandara Sultan Iskandar Muda pada 8 April lalu jam 3.55 petang sebelum meneruskan perjalanan ke beberapa lokasi pedalaman.

Pengerusi Mahabah Asnaf Society, Che Norhayati Mohamed, menyampaikan sumbangan.
Menurutnya, lokasi pertama mereka ialah Kampung Mayang Cut, Pidie Jaya, yang memerlukan kemudahan telaga dengan segera.
“Kami tiba kira-kira jam 9.15 malam dan menyerahkan RM500 bagi pembelian 10 unit kerek telaga kerana penduduk amat memerlukan akses air bersih,” katanya.
Perjalanan misi diteruskan ke Lhokseumawe, Aceh Utara, dengan pasukan tiba pada jam 12.15 tengah malam.
Walaupun penat dan masa semakin lewat, Che Norhayati berkata pasukan misi memahami bahawa keperluan penduduk tidak boleh ditangguhkan.
Bantuan sampai ke balai pengajian
Hari kedua misi menyaksikan beberapa lokasi tumpuan dikenal pasti, terutama institusi pendidikan agama yang menjadi pusat komuniti.
Antaranya ialah Dayah Bustanussalam Malikussalleh di Kampung Singgah Mata, Kecamatan Baktiya Barat, yang menerima bantuan wang zakat, al-Quran, rehal, pembinaan sumur serta pek sumbangan.

Selain itu, bantuan turut disampaikan kepada Balai Pengajian Babul Huda di Kampung Matang Panyang, yang turut menerima sumur, al-Quran, rehal, pek sumbangan, wang zakat serta jajan untuk kanak-kanak.
Che Norhayati berkata, misi diteruskan ke Balai Pengajian Darul Muqtadi di Kampung Kuala Cangkoi, Kecamatan Lapang, yang menerima bantuan pembinaan sumur serta sumbangan bagi pembaikan balai pengajian.
Katanya, lokasi keempat pula ialah Balai Pengajian Baitul Huda di Dusun Malim Diwa, yang turut menerima sumur, al-Quran, rehal serta wang zakat.
Air bersih, ilmu dan maruah
Apa yang dilakukan NGO ini mungkin kelihatan kecil pada pandangan sesetengah pihak, namun bagi penduduk di pedalaman, sebuah telaga membawa erti besar.

Air bersih bukan sahaja menyelesaikan masalah kesihatan dan kebersihan, malah memudahkan urusan ibadah serta aktiviti harian termasuk pembelajaran al-Quran di balai pengajian.
Lebih penting, ia memberi harapan baharu kepada mereka yang selama ini bergantung kepada sumber air terhad, selain terpaksa berjalan jauh semata-mata untuk mendapatkan air.
Che Norhayati berkata, pihaknya turut merancang pembinaan telaga di lokasi kelima iaitu Balai Pengajian Masabihuzzulam di Aceh Utara.

Menurutnya, bantuan itu adalah sebahagian usaha berterusan untuk memastikan komuniti di pedalaman tidak terus tercicir daripada menikmati kemudahan asas yang sepatutnya.
Misi kemanusiaan bukan sekadar bantuan
Hakikatnya, misi kemanusiaan bukan sekadar soal menyerahkan wang atau barangan.
Ia adalah tentang hadir melihat sendiri kesusahan masyarakat, menyantuni mereka yang memerlukan dan membina hubungan ukhuwah merentas sempadan negara.

Dalam dunia yang semakin sibuk mengejar pembangunan, masih ada insan yang memilih jalan berbeza – membawa telaga harapan, kitab suci dan sumbangan ikhlas kepada mereka yang memerlukan.
Misi Aceh 3.0 bukan sahaja membantu menyelesaikan masalah air bersih, malah menjadi simbol bahawa kemanusiaan itu tidak mengenal jarak, bangsa atau sempadan.-SAHIH
