Warga Asing Didakwa Makin Ramai di Temerloh, Netizen Desak Tindakan Pihak Berkuasa
Warga Asing Didakwa Makin Ramai di Temerloh, Netizen Desak Tindakan Pihak Berkuasa
TEMERLOH: Kehadiran warga asing yang didakwa semakin ramai di daerah ini terutama melibatkan warga Vietnam dan Myanmar mencetuskan kebimbangan penduduk selepas isu itu tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Tinjauan di Facebook mendapati beberapa pengguna memuat naik hantaran mendakwa kumpulan warga asing terbabit sudah lama menetap di sekitar Temerloh dan dilihat bebas berkeliaran termasuk membawa anak-anak tanpa sebarang sekatan.
Malah, terdapat dakwaan mengatakan sebahagian daripada mereka dipercayai bekerja secara bebas di beberapa kawasan sekitar bandar dan penempatan penduduk, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai status dokumen serta permit kerja mereka.
Rata-rata netizen yang meninggalkan komen meluahkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan selain mendesak pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas bagi memastikan hanya individu mempunyai dokumen sah dibenarkan berada di negara ini.
“Bukan isu benci orang luar, tapi kalau tinggal lama dan bekerja tanpa permit, ini boleh jadi masalah,” kata seorang pengguna Facebook.
Seorang lagi pengguna pula mendakwa pernah terserempak dengan beberapa warga asing di kawasan pasar dan perumahan, selain meminta operasi bersepadu dilakukan bagi mengekang aktiviti pendatang tanpa izin.
Bagaimanapun, terdapat juga segelintir pengguna media sosial meminta orang ramai tidak membuat tuduhan melulu tanpa bukti sah, sebaliknya menyerahkan isu itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, orang ramai disaran menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing mencurigakan kepada pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil mengikut undang-undang.-SAHIH
