Penduduk Paya Rajin dakwa wujud kandang lembu haram, Haris gesa aduan di saluran yang betul
Penduduk Paya Rajin dakwa wujud kandang lembu haram, Haris gesa aduan di saluran yang betul
JERANTUT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan kerajaan negeri, Haris Salleh Hamzah meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan sekiranya terdapat sebarang pelanggaran syarat atau peraturan berkaitan dakwaan kewujudan kandang lembu dan tempat sembelihan tanpa kelulusan di Kampung Paya Rajin, di sini.
Haris yang juga Ketua Bahagian UMNO Jerantut berkata, beliau tidak menerima maklumat lanjut berhubung isu berkenaan namun menegaskan sebarang tindakan perlu dibuat mengikut saluran yang betul.
“Saya tak dapat maklumat lanjut berkaitan isu ini. Jika ada pelanggaran syarat atau peraturan, biar pihak berkuasa yang lakukan siasatan.
“Mana-mana pihak yang terkesan boleh buat aduan kepada agensi berkaitan,” katanya ketika dihubungi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan kerajaan negeri, Haris Salleh Hamzah
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang penghakiman atau penghukuman di media sosial kerana ia hanya akan memburukkan keadaan.
Dalam pada itu, seorang penduduk yang membuat aduan mendakwa setiap hari penduduk Kampung Paya Rajin mengadu kepadanya mengenai kewujudan kandang lembu haram dan tempat sembelihan yang dibina berhampiran kawasan perumahan.
Menurutnya, hasil semakan mendapati kawasan terbabit hanya diluluskan lesen kutipan hasil sawit kepada sebuah syarikat, namun didakwa disalah guna untuk pembinaan kandang lembu serta aktiviti penyembelihan.
Pengadu turut mendakwa lokasi terbabit berpotensi dibina kandang babi sekali gus menimbulkan kebimbangan kepada penduduk setempat selain menimbulkan masalah bau busuk.
“Saya harap polis, SPRM, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Alam Sekitar, Alam Flora dan Menteri Besar ambil maklum. Ini keluhan penduduk Jerantut,” katanya.
Pengadu turut meminta Majlis Daerah Jerantut serta agensi berkaitan menjalankan pemeriksaan segera bagi memastikan tiada aktiviti yang melanggar undang-undang serta menjejaskan kesejahteraan penduduk sekitar.-SAHIH
