4,000 meriahkan ‘Beraya Ngelas Syawal’ UMNO Jerantut
4,000 meriahkan ‘Beraya Ngelas Syawal’ UMNO Jerantut
JERANTUT – 4,000 penduduk pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan majlis “Beraya Ngelas Syawal UMNO Bahagian Jerantut” yang berlangsung di Dewan Terbuka Galeri Mat Kilau, DUN Pulau Tawar, hari ini.
Majlis yang diadakan sempena Syawal terakhir itu bukan sahaja menjadi medan mengeratkan silaturahim, malah turut membuktikan semangat kebersamaan dalam kalangan ahli parti dan masyarakat setempat yang terus kukuh.
Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (lantikan) Kerajaan Pahang, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menjayakan program berkenaan.
“Terima kasih kepada semua yang hadir menjayakan dan memeriahkan majlis. Semoga ukhuwah terus erat,” katanya.
Majlis berkenaan turut disempurnakan bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar, Norsarfinaz Mohd. Azman, yang hadir menyantuni masyarakat setempat serta memeriahkan suasana beraya dalam suasana penuh harmoni dan kekeluargaan.

Menurutnya, sambutan luar biasa yang diterima jelas menggambarkan tradisi Aidilfitri masih menjadi pengikat perpaduan, selain platform terbaik untuk bertanya khabar serta memperkukuh hubungan sesama komuniti di Jerantut.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan pelbagai juadah tradisional yang disediakan secara gotong-royong oleh jawatankuasa dan penduduk setempat.
Sementara itu, Ketua Peneroka Felda Jengka 24, Razak Daud berkata, sebanyak 30 jenis juadah disediakan kepada pengunjung, selain 17 jenis air minuman bagi memastikan keselesaan tetamu yang hadir sejak awal pagi.
Katanya, suasana majlis bertambah meriah apabila ramai mengambil peluang hadir bersama keluarga, malah ada yang datang dari kampung berdekatan untuk merasai kemeriahan Syawal terakhir.

“Ini Syawal terakhir, jadi ramai nak datang beraya sama-sama. Alhamdulillah sambutan memang luar biasa,” katanya.
Majlis itu turut diserikan dengan sesi ramah mesra dan jamuan terbuka yang berlangsung dalam suasana penuh harmoni.-SAHIH
