Kedudukan Mohd Shuhaily dirujuk kepada AGC sebelum dipersembah kepada Agong
Kedudukan Mohd Shuhaily dirujuk kepada AGC sebelum dipersembah kepada Agong
SHAH ALAM: Kedudukan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sedang diteliti termasuk mendapatkan nasihat Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menentukan tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, perkara itu turut dibangkitkan kepada Suruhanjaya Pasukan Polis sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.
Katanya, penugasan Mohd Shuhaily di AKPS adalah bagi tempoh dua tahun dan sebarang keputusan membabitkan kedudukannya perlu mengikut prosedur ditetapkan.
“Penugasan Datuk Seri Shuhaily di AKPS adalah untuk tempoh dua tahun, dia macam kontrak dan kontrak ini memerlukan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Sekiranya berlaku apa-apa perkara membabitkan tahan kerja dan sebagainya, tindakan kita bergantung kepada nasihat AGC.
“Apa-apa pun perlu diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung penamatan kontrak dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Nasional Reformasi Kerenah Birokrasi 2026, di sini, Rabu lalu.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Mohd Khalid berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertanggungjawab terhadap Mohd Shuhaily memandangkan beliau adalah pegawai polis yang dipinjamkan untuk berkhidmat di AKPS.
Ketika kenyataan itu dibuat, Mohd Shuhaily masih berkhidmat di agensi berkenaan sementara proses penelitian kedudukannya dilaksanakan.
Pada 21 Oktober lalu, Mohd Shuhaily, 54, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis.
Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.-SAHIH
#MohdShuhaily #PDRM #AKPS #KetuaPolisNegara
