Santai Ukhuwah eratkan silaturahim komuniti Taman Barakah
Foto : Santai Ukhuwah eratkan silaturahim komuniti Taman Barakah
Santai Ukhuwah eratkan silaturahim komuniti Taman Barakah
KUALA TERENGGANU – Program Santai Ukhuwah Komuniti Taman Barakah 2026 menjadi platform penting dalam mengeratkan silaturahim, memupuk semangat perpaduan dan memperkukuh kerjasama dalam kalangan penduduk setempat.
Program julung kali dianjurkan Ahli Jawatankuasa Penaja Komuniti Taman Barakah itu berlangsung di Homestay Cabin, Taman Barakah, Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu.
Pengerusi Penaja program, Mohammad Ridhuan Hasmi, berkata penganjuran berkenaan bertujuan memberi peluang kepada penduduk untuk berkenalan dengan lebih rapat, khususnya mereka yang baru menetap di kawasan itu.
Menurutnya, hubungan kejiranan yang erat menjadi asas penting dalam membentuk komuniti harmoni, bersatu padu dan saling membantu dalam kehidupan seharian.
Program berkenaan turut menyediakan ruang kepada penduduk untuk beramah mesra dalam suasana santai dan kekeluargaan, sekali gus membina persefahaman serta semangat kebersamaan.
Menariknya, jamuan makanan diadakan secara potluck, iaitu penduduk membawa makanan masing-masing untuk dikongsi bersama.
Mohammad Ridhuan berkata, amalan berkongsi rezeki itu mencerminkan nilai kebersamaan dan keprihatinan yang menjadi teras pembentukan komuniti kukuh.
Sementara itu, ahli jawatankuasa program, Md Yasin Embong, berharap penganjuran berkenaan menjadi permulaan kepada lebih banyak aktiviti kemasyarakatan, termasuk program kebajikan dan kejiranan yang memberi manfaat kepada penduduk.
Katanya, program itu bukan sekadar pertemuan santai, malah langkah awal membina komuniti yang lebih rapat, prihatin dan saling bekerjasama.
Semangat perpaduan dan ukhuwah yang dipupuk diharapkan menjadi asas keharmonian serta kesejahteraan komuniti Taman Barakah pada masa hadapan, selaras dengan pepatah, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.-SAHIH.
