SPR terima notis rasmi pembubaran DUN Sarawak
SPR terima notis rasmi pembubaran DUN Sarawak
KUCHING: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima pemakluman rasmi pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 26 Oktober lalu bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-13.
Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, surat pemakluman berkenaan dihantar kepada Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun pada Selasa lalu.
Menurutnya, pihaknya menerima surat pengisytiharan pembubaran DUN Sarawak yang ditandatangani Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 23 Oktober lalu.
“Surat cara pengisytiharan pembubaran DUN adalah selari dengan Perkara 21(2) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua Negeri membubarkan Dewan.
“Sehubungan itu, saya memaklumkan kepada Pengerusi SPR bahawa DUN Sarawak dibubarkan pada 26 Oktober menerusi surat bertarikh 27 Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Bangunan DUN Sarawak, Selasa lalu.
Pada 23 Oktober lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan pembubaran DUN berkuat kuasa 26 Oktober bagi membolehkan PRN ke-13 diadakan.
Abang Johari yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, kerajaan negeri akan menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan sementara mengikut peruntukan dan kelaziman perlembagaan sepanjang tempoh berkenaan.
Mandat DUN Sarawak mempunyai 82 kerusi sepatutnya berakhir pada Februari 2027.
Pada PRN ke-12, 18 Disember 2021, GPS memperoleh kemenangan besar selepas menguasai 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.
Parti Sarawak Bersatu (PSB) pula memenangi empat kerusi, manakala DAP memperoleh dua kerusi.
Bagaimanapun, landskap politik negeri mengalami perubahan selepas PSB dibubarkan pada 2024 dengan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu menyertai Parti Demokratik Progresif (PDP), komponen GPS.
Seorang lagi bekas ADUN PSB, See Chee How yang mewakili Batu Lintang, memilih menjadi ADUN Bebas.
GPS dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan PDP.-SAHIH
#PRNSarawak #DUNSarawak #SPR #PilihanRaya

October 29, 2026 @ 10:40 am
Terbaik….