Masalah internet dua kampung Orang Asli dijangka selesai tahun depan
Masalah internet dua kampung Orang Asli dijangka selesai tahun depan
GERIK: Masalah jaringan telekomunikasi di dua daripada 15 kampung Orang Asli di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Kemar, di sini, dijangka diselesaikan menjelang suku pertama tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, dua kampung berkenaan iaitu Kampung Rela dan Kampung Jarau dikenal pasti mengalami gangguan isyarat kritikal akibat kekangan infrastruktur pemancar serta faktor bentuk muka bumi.
Menurutnya, pemeriksaan ketika lawatan kerja ke penempatan itu pada Isnin mendapati kedudukan antena pemancar kurang tepat antara punca gangguan penerimaan isyarat di kedua-dua kampung berkenaan.
“Pengendali telekomunikasi (telco) memaklumkan kerja mudah seperti pelarasan antena memerlukan masa kira-kira sebulan.
“Bagaimanapun, kerja naik taraf lain mungkin mengambil masa sehingga suku pertama atau kedua tahun depan, tetapi kita akan menyelesaikannya secepat mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada lawatan kerja ke RPS Pos Kemar yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor, Datuk Salbiah Mohamed.
Mohd Azlan berkata, sebarang perancangan menaik taraf kemudahan telekomunikasi di penempatan berkenaan perlu diteliti bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan keupayaan dan kestabilan bekalan elektrik mampu menyokong operasi infrastruktur telekomunikasi selepas kerja naik taraf dilaksanakan.
Beliau berkata, kerajaan negeri komited memperluas inisiatif pendigitalan luar bandar supaya komuniti Orang Asli tidak tercicir daripada menikmati kemudahan telekomunikasi berkualiti.
Sementara itu, Salbiah berharap masalah gangguan jaringan telekomunikasi yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu dapat diselesaikan segera demi kesejahteraan penduduk.
“RPS Pos Kemar mempunyai 15 kampung dengan penduduk melebihi 5,000 orang, manakala jumlah pengguna perkhidmatan telekomunikasi semakin bertambah.
“Saya mohon pihak telco memandang serius masalah ini kerana kemudahan komunikasi amat diperlukan penduduk,” katanya.
Salbiah turut menghargai tindakan pihak berkaitan turun padang meninjau masalah berkenaan dan berharap kerja pembaikan dapat disiapkan mengikut tempoh dipersetujui.-SAHIH
#OrangAsli #PosKemar #Gerik #Telekomunikasi
