Filipina berminat contohi model koperasi kariah masjid ANGKASA
Filipina berminat contohi model koperasi kariah masjid ANGKASA
PETALING JAYA: Pengalaman Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) membangunkan koperasi kariah masjid menarik perhatian delegasi Filipina untuk dijadikan panduan memperkasakan ekonomi komuniti di negara itu.
Seramai 30 delegasi Union of Catholic Church-Based Cooperatives (UCC) Cooperative Federation dan Polytechnic University of the Philippines (PUP) mengadakan lawatan penanda aras ke Wisma Ungku A Aziz, Kelana Jaya, Selasa lalu.
Naib Presiden ANGKASA, Datuk Kamarudin Ismail berkata, lawatan itu membuka ruang perkongsian pengalaman dan kepakaran dalam pembangunan koperasi, khususnya membabitkan institusi keagamaan serta komuniti setempat.
Menurutnya, UCC mempunyai rangkaian koperasi berasaskan gereja yang menjalankan aktiviti dalam sektor kewangan, pengguna dan pertanian bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, PUP memainkan peranan menghubungkan pendidikan tinggi dengan pembangunan komuniti menerusi latihan kepimpinan, pemindahan teknologi serta pembangunan generasi baharu pemimpin koperasi.
Kerjasama itu turut membuka peluang kepada ANGKASA memperluas jaringan pendidikan koperasi di peringkat ASEAN.
Antara inisiatif dibincangkan ialah cadangan penubuhan Institut Pengurusan dan Kepimpinan Koperasi ASEAN (ACMAL) bagi memperkukuh pembangunan modal insan dalam gerakan koperasi serantau.
Inisiatif berkenaan dirancang melalui kerangka Segitiga Pertumbuhan Indonesia, Malaysia dan Thailand (IMT-GT) dengan kerjasama rangkaian institusi pengajian tinggi.
Selain itu, ANGKASA turut berkongsi cadangan penubuhan Jawatankuasa Penyelarasan Koperasi ASEAN (ACCC) bagi memperkukuh perdagangan rentas sempadan, keselamatan makanan dan penyertaan koperasi dalam pembangunan ekonomi serantau.
Delegasi turut diberikan penerangan mengenai model perniagaan ANGKASA, termasuk MyANGKASA Dialysis yang menyediakan perkhidmatan rawatan kepada pesakit buah pinggang.
Naib Pengerusi UCC, Father Felipe Pedraja pula menyatakan minat mendalami pengalaman ANGKASA dalam membangunkan koperasi kariah masjid untuk disesuaikan dengan pengurusan koperasi berasaskan gereja dan rumah ibadat di Filipina.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA, Haji Zaharuddin Alias; wakil PUP, Dr Angelita Sumaway Villaruel dan Michelle Garcia serta wakil Institut Koperasi Malaysia (IKMa), R Zarinatun Mohd Abdul Kader.-SAHIH
#ANGKASA #Koperasi #Filipina #KerjasamaASEAN
