Isu kerusi Bemban, Amirudin ingatkan parti komponen PH
Isu kerusi Bemban, Amirudin ingatkan parti komponen PH
AMPANG: Keputusan menyerahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban kepada calon Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dibuat menerusi persefahaman dalam Pakatan Harapan (PH) dan perlu dihormati semua parti komponen.
Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap anggota parti perlu akur dengan keputusan gabungan berhubung kerjasama politik dan pembahagian kerusi pilihan raya.
Katanya, PH sentiasa mengamalkan pendekatan perbincangan terbuka dengan mempertimbangkan pelbagai kemungkinan sebelum membuat sebarang keputusan.
“Itu keputusan PH dan semua anggota parti wajar menghormati keputusan gabungan dan parti masing-masing.
“Kita di PH berbincang secara terbuka, melihat kepada sebarang kebarangkalian dan kemungkinan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sesi Penilaian Semula Gombak-Hulu Langat Geopark 2026 di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, malam Selasa.
Sabtu lalu, bekas Pengerusi DAP Melaka, Damian Yeo dilaporkan sanggup meninggalkan arena politik daripada menyokong keputusan PH menyerahkan kerusi DUN Bemban kepada Bersatu.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong itu dilaporkan sukar menerima kerjasama berkenaan berikutan pengalaman pengkhianatan politik sebelum ini.
Sementara itu, Amirudin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, sebarang keputusan memperluaskan kerjasama PH dan Bersatu pada PRN Sarawak atau Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) masih belum dimuktamadkan.
“Setakat ini, kita belum diuji lagi dan akan tengok selepas pilihan raya atau apakah hasilnya nanti,” katanya.
Naib Presiden PKR itu berkata, keputusan mengenai kerjasama PH dan Bersatu di Selangor juga belum dapat diputuskan kerana masih memerlukan perbincangan lanjut.
Katanya, beberapa perkara perlu diteliti sebelum sebarang ketetapan dibuat berhubung hala tuju kerjasama politik kedua-dua pihak di negeri berkenaan.-SAHIH
#PRNMelaka #PakatanHarapan #Bersatu #AmirudinShari
