APMM siasat insiden bot, teliti semula SOP operasi
APMM siasat insiden bot, teliti semula SOP operasi
KUALA NERANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menjalankan siasatan dalaman susulan insiden perlanggaran bot ketika operasi di perairan Perlis, Isnin lalu, yang mengorbankan seorang anggotanya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, siasatan itu bagi mengenal pasti sebarang kelemahan termasuk keperluan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.
Katanya, setiap operasi APMM mempunyai SOP khusus dan semua anggota sentiasa diingatkan supaya mematuhi prosedur ditetapkan bagi memastikan keselamatan ketika menjalankan tugas.
“Setiap operasi dilaksanakan APMM mempunyai SOP tertentu dan anggota sentiasa diingatkan supaya mematuhinya.
“Sekiranya berlaku kejadian, siasatan dalaman akan dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan untuk tujuan penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengebumian anggota APMM, Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, di sini, malam Selasa.
Mohd Zawawi berkata, penelitian turut membabitkan aspek latihan dan kelengkapan operasi bagi memastikan anggota mempunyai persediaan mencukupi ketika melaksanakan tugas di perairan negara.
Menurutnya, siasatan dalaman akan dilaksanakan secepat mungkin dan dijangka mengambil masa beberapa minggu untuk diselesaikan.
“Kita mahu mengenal pasti kemungkinan ada beberapa perkara dalam SOP yang perlu ditambah baik demi keselamatan warga APMM pada masa akan datang.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Beliau berkata, tragedi menimpa anggota terbabit tidak akan mematahkan semangat warga APMM, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan perairan negara.
Dalam kejadian kira-kira 11 malam Isnin lalu, Mohd Roshaimi maut manakala tiga anggota lain cedera selepas bot dinaiki mereka dipercayai melanggar struktur konkrit di perairan Kuala Sungai Padang, berhampiran Kuala Perlis.
Ketika kejadian, anggota terbabit sedang menjalankan operasi mengejar bot disyaki membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).-SAHIH
#APMM #MaritimMalaysia #Perlis #KemalanganBot
