Kursus “Back To Nature” Perkasa Jati Diri Peserta
Kursus “Back To Nature” Perkasa Jati Diri Peserta
JERANTUT – Unit Sukan, Kokurikulum dan Kebudayaan (USKK) Politeknik Metro Kuala Lumpur menganjurkan Kursus Pemantapan Jati Diri dan Rekreasi Alam “Back to Nature” sebagai pendekatan pendidikan holistik dalam membentuk sahsiah pelajar.

Peserta menyusuri SUngai Tembeling berdekatan Kampung Gusai.
Program selama tiga hari di Jeram Perahu, Taman Negara berhampiran Kampung Gusai itu melibatkan 21 peserta dengan pengisian berfokus kepada pembangunan jati diri serta ketahanan mental dan fizikal melalui aktiviti luar.
Pengarah pusat itu, Roseman Mat Jidin berkata, pendekatan pembelajaran berasaskan pengalaman membolehkan peserta menguji keupayaan diri sambil menyerap nilai positif dalam kehidupan seharian.
“Program ini dirangka untuk meningkatkan keyakinan diri, menggalakkan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kerjasama dan kepimpinan.
“Peserta juga didedahkan dengan kepentingan memelihara alam sekitar sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial,” katanya.

Peserta turut menyantuni warga Sk Gusai
Menurutnya, program itu turut mengeratkan hubungan dengan komuniti setempat termasuk pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Gusai.
“Kumpulan kami turut menyantuni anak-anak didik di sekolah ini serta guru-guru,” katanya
Sementara itu, Pegawai Perhubungan dan Latihan Industri, Norazlin Zainal Abidin berkata, inisiatif berkenaan menjadi platform berkesan dalam melahirkan individu berdaya tahan, berdisiplin dan lebih menghargai alam semula jadi.
Katanya, pengalaman secara langsung melalui aktiviti lapangan membantu peserta mengaplikasikan nilai positif secara konsisten dalam kehidupan harian.-SAHIH.
