Segula mahu jadikan Malaysia hab serantau Asia Tenggara
Segula mahu jadikan Malaysia hab serantau Asia Tenggara
NEW DELHI: Segula Technologies India Pvt Ltd merancang menjadikan Malaysia sebagai hab serantaunya bagi Asia Tenggara dengan operasi dijangka bermula dalam tempoh tiga suku tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Segula Technologies India bagi India dan Asia Tenggara, Arun Rajendran berkata, rancangan itu dipacu kelebihan Malaysia yang memiliki asas pembuatan kukuh, infrastruktur sedia ada serta tenaga kerja berkemahiran.
Menurutnya, perkara itu antara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini, Sabtu.
Beliau berkata, perbincangan turut menyentuh usaha meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan supaya dapat digunakan dalam program global syarikat, khususnya dalam bidang pembuatan termaju serta reka bentuk dan pembangunan.
“Kita bukan bercakap mengenai pembuatan biasa, sebaliknya pembuatan termaju serta reka bentuk dan pembangunan.
“Ini adalah keperluan semasa dan antara perkara yang sedang dirancang menerusi kerjasama Segula dengan HICOM Engineering Sdn Bhd,” katanya kepada Bernama selepas pertemuan berkenaan.
Arun berkata, syarikat itu turut mengadakan perbincangan dengan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) selain mendapatkan sokongan Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai bagi merealisasikan rancangan terbabit.
Menurutnya, Segula menyasarkan untuk mewujudkan kira-kira 50 jawatan sepenuh masa pada peringkat awal di Malaysia.
Katanya, pekerja berkenaan akan diberikan latihan dalam bidang pembuatan termaju sebelum ditempatkan dalam program pelanggan global syarikat.
Segula Technologies India adalah anak syarikat dan unit kejuruteraan di India milik kumpulan kejuruteraan global Perancis, Segula Technologies.
Syarikat itu yang beribu pejabat di Chennai, Tamil Nadu adalah antara empat syarikat yang mengadakan pertemuan perniagaan secara satu dengan satu bersama Anwar pada Sabtu.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw Segula Technologies, Malaysia, hab serantau, Asia Tenggara, Anwar Ibrahim, Arun Rajendran, HICOM Engineering, MDEC, MIDA
