Semangat patriotik bukan setakat 31 Ogos
Semangat patriotik bukan setakat 31 Ogos
KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme dan kenegaraan tidak seharusnya hanya disemarakkan ketika sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos, sebaliknya perlu terus dipupuk dalam jiwa rakyat sepanjang tahun.
Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Erwin Khairul Ahmad berkata, usaha itu terus diperkasa menerusi program Pentarama Merdeka@Hop-On Hop-Off (H-O-H-O) yang membawa mesej patriotisme secara santai dan lebih dekat dengan masyarakat.
Menurutnya, program berkenaan adalah kesinambungan edisi pertama yang diadakan pada 22 Ogos lalu dan menerima sambutan sangat menggalakkan walaupun dilaksanakan secara spontan.
“Ini bukan program berbentuk seremoni, tetapi kita mahu menyampaikan hasrat dan dasar kerajaan kepada masyarakat bahawa semangat patriotik perlu disematkan dalam dada rakyat Malaysia dalam apa juga keadaan.
“Selalunya ramai beranggapan selepas 31 Ogos, sambutan sudah berakhir. Sedangkan Bulan Kebangsaan masih diteruskan dan kalau boleh semangat patriotik itu disematkan dalam dada setiap hari, setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di ibu negara, Sabtu.
Erwin Khairul berkata, program itu menggunakan bas Hop-On Hop-Off yang memulakan perjalanan di Dataran Merdeka sebelum bergerak ke Sungai Wang Plaza dan Pavilion Kuala Lumpur.
Katanya, pendekatan berkenaan membolehkan JAPEN berinteraksi secara langsung dengan masyarakat menerusi konsep infotainment termasuk persembahan muzik dan nyanyian secara langsung.
“Kita turut menerangkan beberapa perkara berkaitan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kepada masyarakat,” katanya.
Selain Pentarama Merdeka@H-O-H-O, JAPEN turut melaksanakan pelbagai program sempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia termasuk Merdeka@Community MADANI, JAGO@Community, Pentarama@Homecoming dan Pentarama@Kelab MalaysiaKU di sekolah.
Sementara itu, sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) hasil kerjasama Kementerian Komunikasi dan Kerajaan Negeri Sarawak.
Program berkenaan dijangka menghimpunkan lebih 6,000 peserta.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw JAPEN, patriotisme, Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Pentarama Merdeka, Hop-On Hop-Off, Erwin Khairul Ahmad
