‘Raja Penyu’ kembali ke Rantau Abang, bertelur 81 biji
‘Raja Penyu’ kembali ke Rantau Abang, bertelur 81 biji
DUNGUN: Seekor penyu belimbing dikesan mendarat di Pantai Rantau Abang di sini, awal pagi tadi sebelum bertelur sebanyak 81 biji, sekali gus menjadi pendaratan kedua spesies itu di Terengganu tahun ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, spesies penyu terbesar di dunia itu dipercayai mendarat antara jam 1.30 hingga 2.30 pagi sebelum sarang telurnya ditemukan pemajak telur penyu kira-kira jam 4 pagi.
Bagaimanapun, katanya, ibu penyu berkenaan sudah kembali ke laut selepas selesai bertelur dan tidak lagi berada di lokasi ketika sarang ditemukan.
Menurut Pang, Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan penyu belimbing itu adalah ibu penyu sama yang mendarat dan bertelur di Pantai Pasir Putih, Marang kira-kira dua minggu lalu.
“Saiz jejak ‘Raja Penyu’ yang mendarat itu berukuran 2.20 meter manakala saiz telurnya pula kira-kira lima sentimeter,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kesemua 81 biji telur berkenaan sudah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk dieramkan di Hatcheri Pusat Konservasi Penyu Rantau Abang.
Katanya, telur yang dieram itu dijangka menetas dalam tempoh antara 50 hingga 70 hari.
Pang berkata, ibu penyu terbabit juga dijangka kembali ke jajaran Pantai Rantau Abang untuk bertelur buat kali ketiga dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi.
Sebelum ini, seekor penyu belimbing dilaporkan mendarat di Pantai Pasir Putih, Marang pada malam 1 September lalu dan bertelur sebanyak 44 biji.
Pendaratan terbaharu itu mencetuskan keterujaan berikutan rekod terakhir penyu belimbing mendarat di pantai Terengganu sebelum ini adalah pada 2017.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw penyu belimbing, Rantau Abang, Dungun, Terengganu, Jabatan Perikanan, Pang Nyukang, telur penyu
