570 delegasi Asia berhimpun perkukuh masa depan koperasi kredit
570 delegasi Asia berhimpun perkukuh masa depan koperasi kredit
KUALA LUMPUR: Lebih 570 delegasi dari 22 negara berkumpul di ibu negara bagi merangka strategi baharu memastikan gerakan koperasi kredit Asia kekal berdaya tahan ketika berdepan cabaran teknologi, ekonomi dan perubahan keperluan anggota.
Perkara itu menjadi antara fokus utama Asian Credit Union Forum (ACUF) 2026 yang berlangsung dari 10 hingga 12 September di Times Square Hotel, di sini.
Forum bertemakan Overcoming Unspoken Realities: The Transformation & Resilience Era 2026 itu dianjurkan Association of Asian Confederation of Credit Unions (ACCU) dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) selaku tuan rumah.
Antara isu dibincangkan termasuk pendigitalan perkhidmatan kewangan, perkembangan teknologi, tekanan inflasi, ketidaktentuan ekonomi, perubahan keperluan anggota serta pengukuhan tadbir urus dan pengurusan risiko.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, koperasi kredit memainkan peranan penting dalam memperluas akses pembiayaan kepada anggota, khususnya bagi meningkatkan taraf hidup dan mengembangkan aktiviti ekonomi.
Menurutnya, sektor berkenaan perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan ekonomi melalui inovasi, peningkatan kecekapan operasi serta pengurusan risiko yang lebih berkesan.
“Kerajaan mahu melihat gerakan koperasi terus berkembang sebagai satu kekuatan ekonomi yang berkualiti, berdaya tahan dan memberi impak yang lebih besar kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, forum berkenaan menjadi platform penting untuk gerakan koperasi kredit Asia memperkukuh jaringan kerjasama serta berkongsi pengalaman, inovasi dan amalan terbaik.
Katanya, ANGKASA akan terus memperluas jaringan antarabangsa demi memberi manfaat kepada lebih 16,000 koperasi di Malaysia, termasuk melalui kerjasama rentas sempadan.
Statistik Koperasi Malaysia 2025 merekodkan 16,468 koperasi di seluruh negara berbanding 16,284 pada 2024.
ACUF 2026 juga menjadi kali kelima Malaysia menjadi tuan rumah selepas penganjuran pada 2000, 2003, 2007 dan 2019.-SAHIH
#kw ANGKASA #kw ACUF2026 #kw ACCU #kw koperasi #kw koperasikredit #kw KUSKOP #kw KualaLumpur
