Malaysian Night erat jaringan koperasi Asia
Malaysian Night erat jaringan koperasi Asia
KUALA LUMPUR: Malam penuh warna budaya Malaysia menjadi medan mengeratkan hubungan dan persahabatan antara pemimpin serta penggerak koperasi serantau menerusi Malaysian Night Dinner sempena Asian Credit Unions Forum 2026.
Majlis anjuran Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) itu berlangsung di Manhattan Ballroom, Berjaya Times Square Hotel, di sini, pada 11 September lalu.
Timbalan Presiden ANGKASA, Prof Madya Dato’ Dr Haji Abdul Rahman Abdul Razak Shaik berkata, ANGKASA berbesar hati menjadi tuan rumah kepada barisan pemimpin dan penggerak koperasi dari seluruh Asia yang memainkan peranan dalam membentuk masa depan gerakan koperasi serta kredit.
“Malam ini bukan sekadar untuk meraikan perjalanan kita bersama, tetapi juga membina rangkaian, persahabatan dan hubungan yang berkekalan.
“Walaupun kita datang dari negara yang berbeza, nilai serta visi koperasi tetap menyatukan kita,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Association of Asian Confederation of Credit Unions (ACCU) atas komitmen menghimpunkan gerakan koperasi kredit serantau.
Menurutnya, kehadiran delegasi dari pelbagai negara membuktikan kepentingan kerjasama erat dalam memperkukuh pertumbuhan mampan serta memastikan gerakan koperasi terus memberi manfaat kepada komuniti.
“Kami berharap peserta antarabangsa dapat merasai kehangatan hospitaliti Malaysia, menikmati makanan yang disediakan, menghayati budaya kita dan menggunakan kesempatan ini untuk berkenalan serta membina persahabatan sepanjang hayat,” katanya.
Kemuncak Malaysian Night turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh koperasi SMK Bandar Baru Seri Petaling, Kuala Lumpur, menerusi tarian dan nyanyian yang menampilkan kepelbagaian budaya Malaysia.
Persembahan itu turut mencerminkan usaha ANGKASA menyemai semangat koperasi dalam kalangan generasi muda, selain memperkenalkan keunikan budaya negara kepada delegasi ACCU.
Hadir sama Presiden ACCU, Mr Danukrit Kalampakorn; Ketua Pegawai Eksekutif ACCU, Elenita V. San Roque; Naib Presiden ANGKASA, Dato’ Haji Ibrahim Haji Abdullah; Pengerusi ANGKASA Wilayah Persekutuan, Hajah Sharifah Aminah Syed Mohssain serta Pengerusi ANGKASA Negeri Sarawak, Encik Wan Azizan Wan Zainal Abidin.-SAHIH
#kw ANGKASA #kw MalaysianNight #kw ACUF2026 #kw ACCU #kw koperasi #kw koperasikredit #kw budayaMalaysia
