Anak Orang Asli buktikan TVET mampu ubah kehidupan
Foto : Isah a/p Yusof (tiga dari kiri).
Anak Orang Asli buktikan TVET mampu ubah kehidupan
JERANTUT – Latar belakang keluarga dan asal usul bukan penghalang buat anak Orang Asli Suku Kaum Jahut mencipta kejayaan dalam bidang akuakultur menerusi laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Isah a/p Yusof, 23, dari Kampung Berdut, Kuala Krau, Temerloh, membuktikan pendidikan dan kemahiran mampu membuka peluang lebih luas apabila berjaya menamatkan pengajian Sijil Teknologi Akuakultur di Kolej Komuniti Jerantut.
Anak sulung daripada empat beradik itu yang berasal daripada keluarga sederhana, memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.89 selain menerima Anugerah Pengarah selama empat semester berturut-turut.
Kecemerlangannya turut melayakkan beliau dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Unit Sijil Teknologi Akuakultur dan Tokoh Sukarelawan pada Majlis Apresiasi Pelajar 2025.
Selain akademik, Isah aktif dalam kepimpinan dan kegiatan kemasyarakatan, termasuk sebagai Naib Yang Dipertua Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (Kebajikan), Presiden Sekretariat Rukun Negara serta Pengerusi Kelab Kesenian dan Kebudayaan.
Beliau turut menyertai program khidmat komuniti di pelbagai peringkat selain mewakili Kolej Komuniti Jerantut ke Tinsulanonda Fisheries College, Songkhla, Thailand.
Kini, Isah melangkah ke alam pekerjaan sebagai Pembantu Juruteknik Akuakultur di Paya Besar Aquaculture Sdn Bhd.
“Saya datang dari perkampungan Orang Asli hingga memasuki industri akuakultur. TVET mampu menjadi platform penting untuk golongan muda membina masa depan tanpa mengira latar belakang.
“Sewajarnya golongan muda mencari jalan memajukan diri, khususnya melalui TVET yang mampu mengubah kehidupan,” katanya.-SAHIH.
