Wanita maut motosikal terbabas langgar penghadang jalan
Wanita maut motosikal terbabas langgar penghadang jalan
LIPIS – Seorang wanita berusia 30 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 58, Jalan Lipis-Merapoh, Bukit Tujuh, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Ismail Man, berkata kemalangan berlaku kira-kira jam 11.20 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz dari arah Kampung Sungai Mun menuju ke Chegar Perah.
“Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan ketika melalui kawasan selekoh sebelum terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri.
“Mangsa kemudian terjatuh ke dalam longkang dan mengalami kecederaan di bahagian kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Mun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.
“Pengguna jalan raya juga perlu mengutamakan keselamatan terutama ketika melalui jalan yang berselekoh dan berbukit,” katanya.-SAHIH.
