ANGKASA perkukuh jaringan koperasi antarabangsa di Panama
ANGKASA perkukuh jaringan koperasi antarabangsa di Panama
PANAMA CITY: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) terus memperluas jaringan gerakan koperasi negara di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan dalam Majlis Makan Malam anjuran Indian Farmers Fertiliser Cooperative Limited (IFFCO) di Panama, 13 September lalu.
Majlis berkenaan diadakan bersempena International Cooperative Alliance (ICA) Global Conference and General Assemblies 2026 dan menjadi platform penting untuk memperkukuh hubungan antara pemimpin serta wakil gerakan koperasi dari pelbagai negara.
ANGKASA selaku badan puncak gerakan koperasi Malaysia diwakili Presidennya, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah.
Turut hadir Naib Presiden ANGKASA merangkap Ahli Lembaga ICA, Datuk Kamarudin Ismail; Naib Presiden ANGKASA, Datuk Mohamad Ali Hasan serta Pengurus Besar Bahagian Korporat ANGKASA merangkap Pegawai Khas Presiden ANGKASA, Halim Ibrahim.
Majlis makan malam itu turut memberi ruang kepada delegasi ANGKASA bertukar pandangan dengan pemimpin koperasi luar negara selain meneroka peluang kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada gerakan koperasi Malaysia.
Penganjuran program berkenaan juga dilihat mampu memperkukuh hubungan strategik antara ANGKASA dan organisasi koperasi antarabangsa, khususnya dalam aspek pembangunan, tadbir urus, perdagangan serta perkongsian kepakaran.
Penglibatan ANGKASA dalam program berkenaan selari dengan usaha memperluas peranan gerakan koperasi Malaysia di peringkat global menerusi hubungan lebih erat dengan organisasi koperasi antarabangsa.
Pada masa sama, pertemuan tidak formal seperti majlis makan malam itu menjadi medan penting bagi membina keyakinan dan hubungan dua hala antara pemimpin koperasi sebelum diterjemahkan kepada bentuk kerjasama yang lebih tersusun.
Kehadiran delegasi Malaysia dalam siri program sempena ICA Global Conference and General Assemblies 2026 turut memperlihatkan komitmen ANGKASA untuk memastikan suara gerakan koperasi negara terus diketengahkan di pentas antarabangsa.-SAHIH
#kw ANGKASA, IFFCO, ICA, Panama
