Syarikat tempatan perlu kurangkan kebergantungan import – Johari
Syarikat tempatan perlu kurangkan kebergantungan import – Johari
KUALA LUMPUR: Syarikat tempatan digalakkan memperkukuh keupayaan menghasilkan komponen dan bahan industri sendiri bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import, sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu penting bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan mendapat manfaat daripada kemasukan pelaburan asing ke Malaysia.
Katanya, syarikat tempatan perlu merangka strategi jangka panjang untuk meningkatkan penyertaan dalam rantaian bekalan industri, khususnya sebagai pembekal kepada syarikat multinasional.
“Kalau seorang pelabur datang untuk menghasilkan sesuatu produk yang memerlukan 10 jenis bahan atau komponen, tetapi tiga atau empat daripadanya mampu dihasilkan syarikat tempatan, kita sudah boleh mengurangkan import.
“Dalam jangka panjang, kita bukan sahaja mengembangkan ekonomi dan meningkatkan eksport, malah dapat mengurangkan import kerana komponen berkenaan dihasilkan dalam negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam Jumaat.
Johari berkata, industri tempatan juga perlu beralih daripada aktiviti pengeluaran konvensional kepada bidang reka bentuk, kejuruteraan dan pembuatan produk berteknologi tinggi.
Menurutnya, peralihan itu penting bagi meningkatkan nilai tambah produk tempatan, selain membolehkan syarikat Malaysia bersaing dalam rantaian bekalan industri global.
Katanya, kerajaan mahu lebih banyak syarikat tempatan membangunkan teknologi sendiri serta memperkukuh keupayaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk yang mampu bersaing di pasaran antarabangsa.
Selain itu, pembinaan jenama tempatan yang kukuh turut menjadi keutamaan bagi membantu syarikat negara menembusi pasaran eksport dan mengembangkan operasi ke luar negara.
Usaha berkenaan dijangka dapat meningkatkan penyertaan industri tempatan dalam aktiviti ekonomi bernilai tinggi, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap bahan serta komponen import.
Majlis AKI 2026 diadakan bagi mengiktiraf syarikat tempatan yang menunjukkan kecemerlangan dalam sektor perindustrian serta memberi sumbangan berterusan kepada pertumbuhan ekonomi negara.-SAHIH
#MITI #JohariAbdulGhani #EkonomiMalaysia #IndustriTempatan
