Ikan kembung, kerisi masih perlu diimport – LKIM
Ikan kembung, kerisi masih perlu diimport – LKIM
MELAKA : Bekalan ikan kembung dan kerisi tempatan masih belum mencukupi bagi memenuhi permintaan pengguna, menyebabkan Malaysia terus bergantung kepada import spesies berkenaan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, pengeluaran ikan negara berbeza mengikut spesies, permintaan domestik dan faktor musim yang mempengaruhi hasil tangkapan nelayan.
Katanya, terdapat spesies ikan yang mencatat pengeluaran melebihi keperluan tempatan, sekali gus membolehkan lebihan bekalan dieksport ke pasaran antarabangsa.
“Sebagai contoh, tahap pengeluaran ikan siakap negara mencapai 114 peratus, jadi kita mempunyai lebihan bekalan untuk dieksport.
“Bagaimanapun, bagi ikan kembung dan spesies ikan makerel lain, pengeluaran tempatan masih belum mencapai 100 peratus daripada keperluan domestik.
“Jadi, kita terpaksa mengimport ikan berkenaan bagi memenuhi permintaan pengguna. Bekalan ikan juga bergantung kepada musim,” katanya.
Muhammad Faiz berkata, usaha meningkatkan pengeluaran ikan tempatan perlu diperkukuh, termasuk menggalakkan lebih banyak persatuan nelayan menceburi bidang akuakultur.
Menurutnya, lebih 20 persatuan nelayan kawasan dan negeri kini terbabit secara langsung dalam aktiviti akuakultur bagi membantu meningkatkan bekalan ikan negara.
Katanya, usaha itu turut mendapat sokongan kerajaan menerusi peruntukan akuakultur dan dana khas berjumlah RM40 juta yang disediakan melalui Agrobank.
“Penglibatan persatuan nelayan dalam akuakultur penting bagi memastikan bekalan ikan negara lebih stabil dan tidak terlalu bergantung kepada hasil tangkapan laut,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata, lebih 35,000 nelayan yang menerima insentif kerajaan sudah direkodkan dalam Pangkalan Data Nelaya.
Beliau berkata, sistem berkenaan diwujudkan bagi memudahkan pengurusan dan pengesahan penerima bantuan kerajaan, termasuk subsidi minyak serta elaun sara hidup nelayan.
Katanya, proses pendaftaran akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan nelayan baharu yang layak menerima bantuan turut direkodkan.-SAHIH
#LKIM #IkanKembung #Nelayan #BekalanIkan
