SPR guna sistem digital rekod kehadiran pengundi pada PRN Melaka
SPR guna sistem digital rekod kehadiran pengundi pada PRN Melaka
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menggunakan teknologi Optical Character Recognition-Voters Attendance (OCR-VA) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai usaha memodenkan pengurusan pilihan raya negara.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, sistem berkenaan membolehkan kehadiran pengundi direkodkan secara digital selain memudahkan pemantauan data secara masa nyata berbanding kaedah manual sebelum ini.
Katanya, penggunaan teknologi itu juga berpotensi mengurangkan kos operasi dan menjimatkan masa, terutama ketika SPR berdepan cabaran mendapatkan petugas pilihan raya.
“OCR-VA sebenarnya satu usaha SPR untuk memodenkan pengurusan pilihan raya di Malaysia.
“Apabila kita teliti amalan sekarang, terdapat banyak perkara yang boleh diperbaiki, terutama cabaran mendapatkan petugas dan kos yang semakin meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam temu bual eksklusif bersama Bernama di Ibu Pejabat SPR, di sini, baru-baru ini.
Khairul berkata, pelaksanaan OCR-VA antara projek rintis awal SPR yang dibangunkan berdasarkan pengalaman mengendalikan pilihan raya di seluruh negara.
Menurutnya, sistem itu tidak mengubah proses pengundian atau pengiraan undi, sebaliknya hanya memodenkan kaedah semakan dan pendaftaran kehadiran pengundi di pusat pengundian.
Katanya, teknologi berkenaan pernah diuji di sebuah pusat mengundi ketika PRN Negeri Sembilan sebelum diputuskan untuk diperluas penggunaannya pada PRN Melaka.
Mengulas aspek keselamatan, beliau berkata, perlindungan maklumat peribadi pengundi dapat diperkukuh menerusi pemprosesan data secara elektronik berbanding kaedah fizikal atau manual.
Bagaimanapun, Khairul berkata, SPR akan mengekalkan penggunaan dua kaedah iaitu OCR-VA dan sistem manual sepanjang pelaksanaan projek rintis pada PRN Melaka.
Menurutnya, pendekatan itu membolehkan SPR menilai keberkesanan sistem berkenaan sebelum membuat keputusan muktamad mengenai penggunaannya secara lebih meluas.
Beliau berkata, usaha pendigitalan itu selaras dengan komitmen SPR meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya tanpa menjejaskan proses pengundian sedia ada.-SAHIH
#SPR #PRNMelaka #OCRVA #PilihanRaya
