GLIC, GLC suntik RM120 bilion pacu ekonomi negara
GLIC, GLC suntik RM120 bilion pacu ekonomi negara
Kuala Lumpur: Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) memperhebat peranan sebagai pemacu ekonomi domestik menerusi tambahan pelaburan RM120 bilion di bawah inisiatif GEAR-uP bagi tempoh 2024 hingga 2028.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, lebih RM20 bilion sudah dilaburkan tahun lalu dengan jumlah hampir sama dijangka direalisasikan tahun ini.
Katanya, perkembangan itu menunjukkan sasaran pelaburan berkenaan kini diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar, selain diselaraskan dengan aspirasi pembangunan negara.
“Di bawah inisiatif GEAR-uP, mereka meningkatkan pelaburan dengan tambahan RM120 bilion berbanding kebiasaan dalam tempoh lima tahun.
“Tahun lalu, kita melihat pelaburan lebih RM20 bilion dan tahun ini juga dijangka sekitar paras sama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di luar Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2026 anjuran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), di sini, Selasa.
Amir Hamzah berkata, Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) menjadi antara panduan utama GLIC dalam menentukan pelaburan sektor strategik yang mampu melonjakkan ekonomi negara.
Menurutnya, GLIC dan GLC bukan sahaja berperanan meningkatkan kerumitan ekonomi serta menarik pelaburan asing dan domestik berkualiti, malah turut membantu meningkatkan pendapatan pekerja dan mewujudkan pekerjaan lebih baik.
Katanya, hampir 92 peratus pekerja tetap GLIC dan GLC kini menerima sekurang-kurangnya RM3,100 sebulan selaras dengan penanda aras gaji kehidupan wajar.
“Ini menetapkan penanda aras baharu kepada sektor swasta bahawa syarikat mampu membayar pekerja dengan lebih baik seiring peningkatan produktiviti negara,” katanya.
Pada masa sama, GLC turut menyokong pelaksanaan BAKAT MADANI yang menghubungkan graduan universiti serta institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan peluang latihan, peningkatan kemahiran dan pekerjaan menerusi rangkaian GLIC serta GLC.
Inisiatif itu menyasarkan 25,000 penerima manfaat sepanjang 2026 hingga 2027 bagi membantu menyediakan kumpulan bakat negara memenuhi keperluan ekonomi masa depan.
Amir Hamzah berkata, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) turut melaksanakan pelaburan berkaitan perkampungan persaraan, manakala GLIC dan GLC perlu terus memberi tumpuan kepada keutamaan serta inisiatif yang selari dengan agenda negara.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: GLIC, GLC, GEAR-uP, pelaburan
