MoT cadang insentif cukai rancakkan industri perkapalan
MoT cadang insentif cukai rancakkan industri perkapalan
Kuala Lumpur: Kementerian Pengangkutan (MoT) mencadangkan insentif cukai menerusi Belanjawan 2027 bagi menggalakkan lebih banyak kapal berbendera Malaysia dibina dan dibaiki dalam negara.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kementeriannya sudah mengemukakan pandangan kepada Kementerian Kewangan (MoF), termasuk berkaitan aspek percukaian dan insentif bagi memperkukuh industri perkapalan negara.
Menurutnya, antara cabaran utama dihadapi pemilik kapal ketika ini adalah mendapatkan pembiayaan kerana kebanyakan institusi perbankan tempatan melihat sektor berkenaan sebagai berisiko tinggi.
“Satu lagi komponen penting ialah pembiayaan kerana antara cabaran utama dihadapi ramai pemilik kapal adalah bagaimana untuk membiayai kapal mereka.
“Ia bukan mudah kerana dalam sistem perbankan Malaysia, kebanyakan bank tidak begitu melihat sektor ini kerana menganggapnya sebagai sektor berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Minggu Maritim Malaysia 2026, di sini, Selasa.
Loke berkata, kementerian berharap campur tangan kerajaan menerusi Bank Negara Malaysia (BNM) dapat membantu memperluaskan akses pembiayaan kepada pemain industri perkapalan.
Katanya, kerajaan ketika ini sudah mempunyai skim pembiayaan untuk industri berkenaan, namun pemain sektor itu masih berdepan kesukaran mendapatkan pembiayaan sejak beberapa tahun lalu.
Menurutnya, industri perkapalan turut mengemukakan pelbagai cadangan kepada kerajaan khususnya berkaitan percukaian dan pembiayaan.
“Pengukuhan dalam dua aspek ini penting untuk melonjakkan industri perkapalan, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Bagaimanapun, Loke berkata, keputusan muktamad berhubung cadangan itu terletak di tangan MoF dan hanya akan diketahui apabila Belanjawan 2027 dibentangkan pada 9 Oktober ini.
Katanya, langkah menggalakkan lebih banyak kapal berbendera Malaysia dibina dan dibaiki dalam negara juga mampu memperkukuh ekosistem maritim tempatan serta merancakkan kegiatan ekonomi berkaitan industri berkenaan.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: industri perkapalan, insentif cukai, Anthony Loke, Belanjawan 2027
