Belum ada keputusan rasmi PH-Bersatu bagi PRN Melaka
Belum ada keputusan rasmi PH-Bersatu bagi PRN Melaka
Putrajaya: Pakatan Harapan (PH) masih belum memuktamadkan sebarang bentuk kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pengarah Komunikasi PH merangkap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik akan diputuskan melalui Majlis Presiden PH.
Menurutnya, beliau sendiri tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai jamuan makan malam tertutup membabitkan beberapa pemimpin PH dan Bersatu di Melaka, malam tadi.
“Saya belum terima apa-apa maklumat. Berdasarkan laporan media, ia hanya sesi makan malam.
“Tak dibincangkan dengan saya. Saya tak hadir, saya tak ada maklumat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pertemuan tertutup membabitkan pemimpin kedua-dua parti berkenaan.
Fahmi berkata, setakat ini belum ada sebarang perkembangan baharu berhubung kerjasama politik PH dengan Bersatu.
“Apa-apa keputusan akhirnya untuk Pakatan Harapan akan dibuat melalui Majlis Presiden.
“Jadi setakat ini, kita tunggu Majlis Presiden. Belum ada apa-apa perkembangan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan jamuan makan malam berkenaan dihadiri antaranya Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim; Pengerusi Amanah Melaka, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz serta Pengarah Pilihan Raya Bersatu Melaka, Datuk Seri Mohammad Ali Mohamad.
Bersatu sebelum ini memaklumkan pertemuan itu bukan mesyuarat rasmi, sebaliknya sesi makan malam, suai kenal dan perkongsian pandangan menjelang PRN Melaka.
Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari mengesahkan rundingan sedang dijalankan dengan parti yang mempunyai aspirasi sama termasuk Bersatu bagi membentuk kerjasama PH Plus.
Bagaimanapun, katanya, sebarang bentuk kerjasama hanya akan diumumkan selepas proses rundingan dimuktamadkan.
PH Melaka juga sudah menyelesaikan pembahagian kerusi antara PKR, Amanah dan DAP di peringkat negeri, manakala setakat 19 September lalu, rundingan PH Plus belum melibatkan Barisan Nasional (BN).-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: PH, Bersatu, PRN Melaka, Fahmi Fadzil
