Runding terus dengan Myanmar penting selesai isu pelarian – Anwar
Runding terus dengan Myanmar penting selesai isu pelarian – Anwar
Kuala Lumpur: Rundingan secara langsung dengan kepimpinan Myanmar penting bagi mencari penyelesaian jangka panjang dan baik terhadap isu pelarian yang berlarutan sejak beberapa dekad lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu itu tidak boleh diselesaikan hanya melalui bantahan terbuka atau tanpa sebarang tindakan ketika jumlah individu yang terpaksa meninggalkan negara berkenaan terus meningkat.
Menurutnya, rundingan diplomatik perlu diteruskan bagi menetapkan syarat serta jaminan keselamatan sebelum sebarang proses penghantaran pulang dilaksanakan.
“Masalah ini sudah berlaku sejak beberapa dekad dan masih belum diselesaikan. Keadaan semakin buruk dan jumlah pelarian meningkat.
“Apabila mereka bersetuju menerima semula sebahagian daripada pelarian ini, kita sudah tentu perlu memastikan mereka dilindungi dan kemudahan sewajarnya diberikan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Professional Conference & Exhibition (PROFEX) di sini, Selasa.
Anwar berkata, Malaysia kekal komited menjaga kebajikan serta hak asasi pelarian, namun penyelesaian melalui rundingan tetap diperlukan kerana sesebuah negara tidak boleh menempatkan ratusan ribu individu yang kehilangan tempat tinggal untuk selama-lamanya.
Menurutnya, dakwaan bahawa Malaysia sekadar memaksa mereka pulang juga tidak tepat kerana rundingan yang dijalankan bertujuan memastikan individu terbabit mendapat perlindungan serta kemudahan asas sekiranya kembali ke negara asal.
“Pendirian kita adalah untuk melindungi kebajikan dan hak asasi mereka.
“Tetapi untuk mengecam kita kerana mengambil inisiatif ini, saya fikir ia tidak adil. Kita sedang cuba mencari penyelesaian secara baik terhadap isu ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan akan terus menggunakan saluran diplomatik bagi membincangkan kaedah serta parameter yang sesuai untuk memastikan proses penghantaran pulang dilaksanakan secara selamat dan teratur.
Terdahulu hari ini, Malaysia memulakan fasa pertama program penghantaran pulang membabitkan 1,476 warga Myanmar menerusi dua kapal tentera laut dan sebuah kapal hospital Myanmar.
Kumpulan itu terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita, 20 kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan, dengan program berkenaan dilaksanakan secara berperingkat dan kerajaan menyifatkannya sebagai secara sukarela.-SAHIH
Sumber : BERNAMA
#kw: Myanmar, pelarian, Anwar Ibrahim, penghantaran pulang
