Malaysia cadang jawatankuasa khas perkukuh industri kreatif dengan Indonesia
Malaysia cadang jawatankuasa khas perkukuh industri kreatif dengan Indonesia
JAKARTA: Malaysia mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) bersama Indonesia bagi mempercepatkan kerjasama dua hala dalam industri kreatif dan ekonomi kreatif kedua-dua negara.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa merentas kementerian itu akan memudahkan perbincangan mengenai pelbagai inisiatif kerjasama termasuk yang boleh dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU).
Katanya, mekanisme itu penting bagi menyelaraskan kerjasama antara kementerian memandangkan sektor di bawah Kementerian Komunikasi Malaysia turut membabitkan beberapa kementerian di Indonesia.
“Beberapa aspek mungkin bukan di bawah Kementerian Komunikasi, tetapi kita akan sampaikan kepada kementerian berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Ekonomi Kreatif Indonesia, Teuku Riefky Harsya di sini, Rabu lalu.
Fahmi berkata, kerjasama itu dijangka membuka lebih banyak peluang pertukaran aktiviti industri kreatif antara kedua-dua negara khususnya dalam bidang muzik dan sektor berkaitan.
Menurutnya, pertemuan bersama Teuku Riefky turut memberi peluang kepada Malaysia memahami peranan serta tanggungjawab Kementerian Ekonomi Kreatif Indonesia yang baharu ditubuhkan di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.
Katanya, perbincangan turut menyentuh potensi kerjasama yang boleh diterokai bagi memperkukuh pembangunan ekonomi kreatif kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, Fahmi turut menyaksikan pemeteraian dua MoU antara MyCreative Ventures dengan Jawatankuasa Ekonomi Kreatif Jakarta dan EnMasse.
Terdahulu, Fahmi yang mengadakan lawatan kerja ke Jakarta sehingga Khamis turut bertemu Menteri Kebudayaan Indonesia, Fadli Zon dan Menteri Komunikasi dan Hal Ehwal Digital, Meutya Hafid.
Pertemuan dengan Fadli memberi tumpuan kepada usaha mempererat kerjasama dua hala dalam industri perfileman termasuk peluang memperluas kegiatan kreatif antara Malaysia dan Indonesia.
Kerjasama itu diharap dapat memperkukuh hubungan industri kreatif serta membuka ruang lebih luas kepada penggiat seni kedua-dua negara.-SAHIH
#FahmiFadzil #MalaysiaIndonesia #IndustriKreatif #EkonomiKreatif
