Sarawak mahu jadi pencipta teknologi dalam tempoh lima tahun
Sarawak mahu jadi pencipta teknologi dalam tempoh lima tahun
KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk beralih daripada aktiviti pemasangan kepada penciptaan teknologi sendiri dalam tempoh lima tahun akan datang bagi membangunkan ekonomi bernilai tinggi.
Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tempoh berkenaan menjadi fasa peralihan penting dalam usaha meningkatkan daya saing ekonomi negeri itu menerusi pendekatan dan dasar baharu.
Katanya, perubahan struktur ekonomi perlu dilaksanakan bagi membolehkan Sarawak keluar daripada perangkap pendapatan sederhana dan bergerak ke arah ekonomi berasaskan inovasi serta penciptaan teknologi.
“Dalam hal itu, kita mesti mempunyai dasar-dasar yang cekap kerana lima tahun akan datang adalah tempoh peralihan untuk kita menjadi pencipta teknologi.
“Perubahan ekonomi itu perlu memberi impak bukan sahaja kepada kawasan bandar, malah turut merangkumi luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Gabungan Parti Sarawak (GPS) Backbenchers Night di sini, Rabu lalu.
Abang Johari berkata, asas transformasi ekonomi Sarawak sudah dibina sepanjang lima tahun lalu menerusi penekanan terhadap pembangunan ekonomi digital, pengukuhan kedudukan fiskal dan pemantapan aset strategik negeri.
Menurutnya, langkah berkenaan membolehkan kerajaan negeri melaksanakan pembangunan menggunakan pendekatan baharu dalam pengurusan ekonomi.
“Kita berjaya meletakkan asas kukuh bagi memacu pembangunan ekonomi menerusi pendekatan baharu dalam pengurusan ekonomi sepanjang lima tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, perubahan itu penting bagi memastikan Sarawak tidak terus bergantung kepada aktiviti ekonomi bernilai tambah rendah, sebaliknya berupaya menghasilkan teknologi sendiri.
Sementara itu, Sarawak dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat berikutan penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-19 akan berakhir secara automatik pada Februari tahun depan.-SAHIH
#Sarawak #AbangJohari #EkonomiDigital #Teknologi
